Home Nasional Kerajaan lakukan pemurnian data kes melalui e-Covid

Kerajaan lakukan pemurnian data kes melalui e-Covid

Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia, Datuk Dr. Noor Hisham Abdullah

PUTRAJAYA – Kerajaan melakukan usaha pemurnian data-data berkaitan kes Covid-19 dari lapangan agar ia dapat dijalankan dengan lebih berkesan, cepat dan tepat.

Sistem yang dipanggil e-Covid itu dijalankan dengan kerjasama Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), Suruhanjaya Komunikasi dan Mutimedia Malaysia (SKMM) dan Majlis Keselamatan Negara (MKN), kata Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah.

Beliau berkata, sistem itu telah dibangunkan oleh Makmal Kesihatan Awam Kebangsaan (MKAK) dan telah mula digunakan oleh kesemua makmal Covid-19 mulai pertengahan April lalu.

“Tambahan pula, penyeragaman sistem data makmal dari kesemua makmal Covid-19 iaitu makmal-makmal KKM, universiti, MOSTi, hospital angkatan tentera dan juga makmal swasta pula telah dipertingkatkan dengan menggunakan Sistem Informasi Makmal Kesihatan Awam (SIMKA),” katanya pada sidang media perkembangan terkini Covid-19 di kementeriannya di sini hari ini.

Noor Hisham memberitahu, ia merupakan satu pencapaian yang baik berbanding dengan sebelum ini di mana data daripada lapangan dan makmal telah dilaporkan secara manual.

Ujarnya, semalam KKM melaporkan sebanyak 297,342 individu telah menjalani ujian Covid-19, di mana 6,819 daripada
jumlah tersebut disaring positif (iaitu kadar positif adalah sebanyak 2.29 peratus).

Bagaimanapun katanya, dengan penggunaan sistem pengumpulan data yang lebih baik itu, KKM sehingga pukul 12 tengahari hari ini telah menyaring sebanyak 424,306 individu, di mana seramai 6,855 orang positif Covid-19 dan 417,451 orang adalah negatif.

“Ini menjadikan kadar positif adalah sebanyak 1.62 peratus. Manakala, bilangan individu yang disaring adalah sebanyak 13 orang bagi 1,000 orang populasi,” ujarnya.

Tambah Noor Hisham, Malaysia merupakan antara negara yang
menjalankan ujian saringan Covid-19 yang paling banyak berbanding negara ASEAN yang lain.

Saringan berkenaan dijalankan secara tertumpu (targeted screening) kepada kumpulan-kumpulan yang dikesan berisiko tinggi untuk dijangkiti wabak itu, jelasnya.

Menurut beliau lagi, pemurnian data itu tidak dapat dilaksanakan tanpa kerjasama daripada pelbagai pihak termasuk tujuh makmal swasta dan KKM mengharapkan agar kerjasama daripada makmal-makmal tersebut dapat diteruskan dan semua data yang berkenaan dapat diberikan atas kepentingan negara dalam menghadapi wabak Covid-19. – MalaysiaGazette

+ posts

1 Komen

  1. Perghh.. semenjak PN ambil alih kerajaan ni,nampak ketara semakin eficient lah sistem.. jauh beza dgn pHaprak dlu

Comments are closed.