Home Nasional PDRM tawar diskaun 50 peratus jika bayar saman online

PDRM tawar diskaun 50 peratus jika bayar saman online

Azisman Alias

KUALA LUMPUR – Kaunter-kaunter polis trafik untuk urusan perkhidmatan bayaran saman dan pembekalan dokumen berkaitan kes kemalangan bagi tuntutan insurans akan beroperasi secara berperingkat di seluruh negara mulai Isnin ini.

Pengarah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Bukit Aman, Deputi Komisioner Datuk Azisman Alias berkata, kaunter perkhidmatan saman dan pembekalan dokumen kemalangan itu akan di semua ibu pejabat polis peringkat daerah dan kontinjen negeri bermula 18 Mei ini.

Katanya, kaunter-kaunter berkenaan akan kembali beroperasi mengikut waktu yang ditetapkan dan dibahagikan mengikut kontinjen negeri.

“Untuk Kontinjen Perlis, Pulau Pinang, Perak, Selangor, Negeri Sembilan, Melaka, Pahang, Sabah, Sarawak dan Wilayah Persekutuan (Kuala Lumpur), Putrajaya dan Labuan) kaunter akan beropersi dari Isnin hingga Rabu mulai jam 9 pagi hingga 2 petang.

“Manakala pada Jumaat waktu operasinya adalah selama tiga jam sahaja iaitu bermula 9 pagi hingg 12 tengahari,” kata beliau dalam kenyataan media hari ini.

Manakala negeri Kedah, Johor, Kelantan dan Terengganu pula kaunter perkhidmatan akan dibuka selama tiga hari seminggu sahaja iaitu Isnin, Rabu dan Ahad bermula 9 pagi hingga 2 petang.

Beliau menyeru orang ramai yang ingin dan tampil berurusan di kaunter-kaunter berkenaan supaya mematuhi Prosedur Operasi Standard Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) yang ditetapkan.

Tambah Azisman, pihaknya memahami masalah kewangan yang dihadapi masyarakat sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bagi mengawal pandemik Covid-19 dan persiapan sambutan Hari Raya Aidilfitri.

“Bagi meringankan bebanan ini, JSPT menawarkan pemberian diskaun sehingga 50 peratus bagi saman-saman terpilih.

“Diskaun 50 peratus untuk saman terpilih hanya digunapakai jika urusan pembayaran untuk saman itu dilakukan secara dalam talian melalui portal www.myeg.com.my dan www.rilek.com.my selama empat hari bermula 18 hingga 21 Mei 2020,” tegasnya.-MalaysiaGazette