Home Ekonomi TNB, CBP agih sumbangan sempena sambutan Hari Raya Aidilfitri

TNB, CBP agih sumbangan sempena sambutan Hari Raya Aidilfitri

TNB
Pengerusi Tenaga Nasional Berhad (TNB), Dato' Seri Mahdzir Khalid (berbaju coklat, dua dari kanan) menyampaikan bingkisan kuih raya kepada Chief Distribution Network Officer TNB, Datuk Ir Baharin Din. Hadir sama di majlis itu adalah Presiden/Ketua Pegawai Eksekutif TNB, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan (dua dari kanan) dan Yang Dipertua PELITAWANIS TNB, Datin Seri Aidah Abu.

KUALA LUMPUR – Tenaga Nasional Berhad (TNB) membekalkan bingkisan raya kepada warga kerjanya yang bertugas pada raya pertama Aidilfitri nanti dengan mengagihkan 10,260 bingkisan berbanding 9,300 pada tahun lalu.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) TNB, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan berkata tradisi yang menjadi amalan sejak tahun 2005 itu adalah untuk menghargai warga kerja TNB yang dijadualkan bertugas pada sambutan Hari Raya Aidilfitri nanti.

“Terdapat warga kerja TNB yang terpaksa berjauhan dan tidak dapat pulang ke pangkuan keluarga masing-masing sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bermula kerana sebahagian besar petugas barisan hadapan kami tunggu sedia di lokasi-lokasi kritikal seperti di hospital dan stesen-stesen jana elektrik,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau menyifatkan warga kerja yang bertugas sebagai wira bagi memastikan operasi TNB kekal lancar dan menjadi semakin penting sepanjang Aidilfitri kali ini disebabkan negara masih belum bebas daripada pandemik COVID-19.

Majlis pengagihan bingkisan telah disempurnakan Pengerusi TNB, Datuk Seri Mahdzir Khalid dalam satu majlis yang berlangsung secara sederhana di Kompleks Balai Islam An-Nur TNB Ibu Pejabat TNB, di sini.

Pengerusi Tenaga Nasional Berhad, Datuk Seri Mahdzir Khalid (baris paling belakang, berbaju coklat, dua dari kanan) dan Presiden/Ketua Pegawai Eksekutif TNB, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan (baris paling belakang, dua dari kiri menunjukkan bingkisan kuih raya di majlis pengagihan di Kompleks Balai Islam An-Nur TNB Ibu Pejabat TNB baru-baru ini.

Turut hadir isteri Amir Hamzah yang juga Yang Dipertua Persatuan Wanita (PELITAWANIS) TNB Kebangsaan, Datin Seri Aidah Abu; isteri Pengerusi TNB, Datin Seri Noraini Abdullah selaku Penaung PELITAWANIS TNB serta anggota pengurusan tertinggi TNB.

Sementara itu, Aidah berkata peningkatan jumlah bingkisan tahun ini disebabkan pengagihan kepada kakitangan anak syarikat TNB iaitu Sabah Electricity Sdn Bhd (SESB) berbanding agihan untuk warga kerja TNB di Semenanjung sahaja sebelum ini.

Dalam satu kenyataan yang berasingan, Co-opbank Pertama (CBP) berkata ia juga telah menyampaikan sumbangan kepada lebih 600 orang golongan B40, ahli CBP dan asnaf di bawah program CB-Prihatin Nur Ramadhan di semua cawangan CBP di seluruh negara.

Presiden yang juga CEO CBP Mohd Nor Abd Razak berkata program itu adalah lanjutan kepada Program CB-Prihatin yang diumumkan pada 8 April lepas bertujuan untuk membantu pihak yang terkesan akibat wabak COVID-19, dan ia dijalankan serentak di semua cawangan CBP seluruh negara.

“Kami amat memahami keperitan kewangan oleh golongan B40 dan asnaf terutama dalam tempoh PKP ini, ada di antara mereka yang bergaji harian dan menjejaskan pendapatan mereka,” katanya.- BERNAMA