DUNGUN – Seorang kanak-kanak perempuan berusia satu tahun tujuh bulan ditemukan lemas selepas terjatuh ke dalam kolam ikan di Jalan Santong, Paka, petang semalam.
Ketua Polis Daerah Dungun, Supt Baharudin Abdullah berkata, mangsa Nur Ara Rasha Abdul Aziz ditemui dalam keadaan kepala menjunam ke dalam air di kolam ikan itu, yang terletak kira-kira 15 meter di belakang rumah datuknya.
“Sebelum kejadian mangsa dikatakan bermain bersama dua orang sepupunya yang berusia empat dan dua tahun sebelum disedari hilang, usaha mencari mangsa telah dilakukan sejak pukul 3.00 petang oleh ahli keluarganya.
“Menurut bapa saudara mangsa Che Saifuddin Che Ibrahim, 33, Nur Ara Rasha ditemui kira-kira pukul 5.00 petang dan terus dibawa ke Klinik Kesihatan Paka sebelum disahkan meninggal dunia pada pukul 6.20 petang semalam,” katanya ketika dihubungi Bernama di sini.
Baharudin berkata, mayat mangsa kemudian dibawa ke unit forensik Hospital Dungun dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut. – Bernama