SABAK BERNAMA – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) telah mengaktifkan operasi bagi mengesan peniaga yang sengaja menaikkan harga ayam.
Timbalan Menterinya, Datuk Rosol Wahid berkata, pihaknya menerima banyak laporan berhubung kenaikan harga ayam di beberapa lokasi termasuk di Terengganu.
“Saya pun dapat banyak laporan menerusi mesej (peribadi) dan FB (Facebook) daripada orang ramai yang merayu, menyeru dan mendesak supaya diadakan penyiasatan dan saya nampak memang ada isu (berlaku kenaikan) itu.
“…dan kita telah mengarah anggota penguat kuasa untuk turun ke lapangan…seperti di Terengganu, dilaporkan kepada saya kenaikan ayam berlaku sehingga RM9.60 sekilo (sekilogram), saya rasa ini melampau,” katanya kepada pemberita selepas melawat kilang Hai Seng Huat Fishery Frozen Sdn Bhd di Bagan Sekinchan, di sini, hari ini.
Turut hadir, Pengarah KPDNHEP Selangor, Muhamad Zikril Azan Abdullah.
Rosol berkata, peniaga dikesan sengaja mengambil kesempatan menaikkan harga ayam itu sebelum kerajaan mengumumkan pelaksanaan Skim Harga Maksimum Musim Perayaan sempena Aidilfitri.
“Ini adalah satu kesalahan dan pihak kementerian akan ambil tindakan tegas supaya perkara seperti ini tidak berterusan.
“Kalau tengok bekalan ayam ada lebih dan tiada masalah kekurangan bekalan…peniaga sengaja nak ambil untung sedangkan harga siling ayam sepatutnya berada pada paras RM5.50 sekilogram,” katanya.
Dalam pada itu, beliau berkata, KPDNHEP telah menyenaraikan 11 barangan dalam skim harga maksimum bagi perayaan Aidilfitri.
Katanya, senarai barangan itu akan diumumkan menterinya Datuk Alexander Nanta Linggi, Selasa depan.
“Dengan pelaksanaan harga maksimum ini diharap akan membantu orang ramai merancang perbelanjaan bagi persiapan hari raya nanti,” katanya. – Bernama