MOSCOW – Liga Perdana Russia musim ini akan bersambung semula bulan depan tanpa kehadiran penonton berikutan penularan wabak Covid-19.
Persatuan Bolasepak Russia dalam satu kenyataan memaklumkan, penggantungan liga berkenaan sejak 17 Mac lalu dijangka disambung semula pada 21 Jun ini.
Saingan liga berkenaan masih lagi mempunyai baki lapan perlawanan bagi musim ini.
“Malangnya baki saingan liga itu akan diadakan tanpa kehadiran penonton,” kata presiden liga, Sergei Pryadkin.
Katanya perlawanan disambung semula pada lewat Jun mampu memberi peluang kepada pemain untuk mempersiapkan diri sebelum turun ke gelanggang.
“Kami akan melakukan segalanya bagi memastikan tahap keselamatan semua yang terbabit. Kami juga yakin peminat akan sentiasa memberi sokongan terhadap pasukan kesayangan mereka dari rumah,” kata Pryadkin.
Russia mencatatkan 262, 843 kes, iaitu kedua paling tinggi di dalam dunia selepas Amerika Syarikat dan 2,418 sudah terkorban. – MalaysiaGazette