Home Seni Hidup Cikgu juga ‘frontliner’ kata pelajar tahun 1 SJKT Ladang Bukit Jalil

Cikgu juga ‘frontliner’ kata pelajar tahun 1 SJKT Ladang Bukit Jalil

KUALA LUMPUR – “Terima kasih kepada semua guru kerana mengajar kami walaupun ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

‘Anda semua adalah ‘frontliners’ (petugas barisan hadapan) bagi kami. Terima kasih untuk segalanya,’ kata pelajar tahun 1 Sekolah Rendah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) Ladang Bukit Jalil, Thaysha Yogendran sempena sambutan Hari Guru hari ini.

Thaysha yang sempat melakar ucapan hari guru serta merakamkan video pendek secara kreatif kepada MalaysiaGazette berkata, dia begitu teruja dengan Sambutan Hari Guru kali ini.

Kata kanak-kanak cilik itu, sejak PKP dilaksakan tiga bulan lalu, dia tidak berkesempatan ke sekolah namun perasaan itu ‘hilang’ kerana saban hari cikgu-cikgu sekolahnya akan meneruskan pengajaran melalui kaedah dalam talian.

“Saya tidak rasa langsung seperti tidak ke sekolah, setiap hari kami ada sesi online, ada kerja rumah yang perlu dilakukan. Ada interaksi dengan cikgu, dengan kawan-kawan. Pada mulanya saya tidak faham apa itu Covid-19 atau PKP.

“Selain kedua ibu bapa saya, cikgu-cikgu inilah yang setiap hari tanpa jemu ingatkan kami untuk sentiasa jaga diri, dengar nasihat dan patuh kepada semua arahan. Mungkin rasa susah pada awal, tapi kini semua ‘ok’.

Pelajar tahun 1 SJKT Ladang Bukit Jalil.

“Lagipun kami selalu ada aktiviti, kerja rumah dan selalu bercakap dengan cikgu-cikgu untuk semua subjek. Cikgu-cikgu di sekolah saya tidak pernah menghentikan pengajaran atas apa-apa sebab.

“Jadi saya ingin mengambil kesempatan melahirkan rasa penghargaan tidak terhingga kepada semua cikgu-cikgu di luar sana terutamanya SJKT Ladang Bukit Jalil, anda semua juga adalah barisan hadapan buat kami. Sentiasa memberi keutamaan kepada pelajaran dan masa depan kami. Terima kasih cikgu.

“Jika doktor, jururawat dan lain-lain seperti polis, bomba adalah frontliner yang sedang bantu kita lawan Covid-19, cikgu-cikgu juga adalah frontliner pastikan pembelajaran tidak terhenti kerana ini.

“Ucapan ini juga saya ingin berikan khas kepada cikgu kelas saya, Puan Shanti yang selalu mengambil berat terhadap saya dan murid-murid lain. Beliau sentiasa memberikan motivasi kepada saya untuk mengambil bahagian dalam semua acara tidak kira sukan, debat atau lain-lain,” katanya sebentar tadi.

Walapun baharu berusia 7 tahun, Thaysa petah dan fasih bertutur dalam bahasa Tamil, Inggeris dan Melayu.

Ia bukanlah sesuatu yang mengejutkan kerana menurut Thaysha, ibunya, Jeyasri Tamibmaniam adalah seorang tenaga pengajar subjek Bahasa Inggeris sejak 11 tahun lalu.

“Ibu juga sumber inspirasi saya, saya amat meminati bahasa serta seni kerana ibu sentiasa mengajar saya dalam gaya yang begitu menarik dan berwarni sejak umur saya dua tahun lagi,” ujarnya lagi.

Ketika apakah cita-citanya, Thaysha berkatam dia dmahu menjadi seorang pelukis atau penyanyi yang cukup popular dan berjaya.

“Saya suka nyanyi, saya suka menari dan melukis. Ibu bapa saya, datuk, nenek semuanya memberi sokongan kepada saya untuk terus melakukan yang terbaik,” katanya. – MalaysiaGazette