Bekas juara MotoGP, Nicky Hayden meninggal dunia pada usia 35 tahun, lima hari selepas terbabit dalam kemalangan ketika menunggang basikal.
Warga Amerika itu mengalami kecederaan otak yang serius selepas berlanggar dengan sebuah kereta di Rimini, bandar pesisir pantai di Itali pada 17 Mei lalu, lapor BBC.
Juara MotoGP 2006 itu diletakkan di bawah pengawasan unit penjagaan intensif di Hospital Maurizio Bufalini, Cesena, Itali.
“Kami berharap Nicky diingati pada masa dia gembira, menunggang motosikal,” kata abang Nicky, Tommy Haydan.
Kenyataan hospital yang dikeluarkan Khamis lalu menyatakan Hayden mengalami ‘polytrauma’ serius, yang mana dalam terma perubatan ia merupakan keadaan seseorang yang mengalami kecederaan luka yang pelbagai.
Hayden, yang dikenali Kentucky Kid, menyertai pasukan Red Bull Honda pada Kejuaraan Superbike Dunia (WSBK) di Itali pada 14 Mei lalu.
Tommy yang juga seorang pelumba motosikal berkata, keluarganya mempunyai banyak kenangan indah bersama Hayden.
“Pada masa kecil dia mengimpikan menjadi penunggang profesional dan dia bukan hanya telah mencapainya tetapi juga sampai ke kemuncak dalam sukan yang dipilihnya,” kata Tommy.
“Kami semua berbangga mengenainya (pencapaian Nicky). Kami semua sangat-sangat merinduinya,”.
Pasukan Red Bull Honda World Superbike berkata, dunia perlumbaan mengucapkan selamat jalan kepada ‘salah seorang pelumba yang disayanginya’.
“‘Kentucky Kid’ akan dirindui selamanya oleh semua yang berkesempatan menemui atau mendapat peluang melihatnya berlumba motosilkal di litar, sama ada perlumbaan litar tanah atau tar,” menurut satu kenyataan.
Pelumba kelahiran Kentucky itu mula menyertai MotoGP pada 2003 dan menduduki tempat ketiga dua tahun kemudian.
Pada 2006 Beliau menamatkan penguasaan Valentino Rossi yang menjadi juara lima tahun berturut-turut pada perlumbaan terakhir penuh dramatik di Velencia.
Hayden ketinggalan lapan mata di belakang Rossi namun pelumba warga Itali itu terjatuh pada lap kelima dan menamatkan perlumbaan di tempat ke-13.
Hayden yang menduduki tempat ketiga menjadi juara dengan kelebihan lima mata.
Beliau kekal menjadi warga Amerika terakhir memenangi perlumbaan motosikal utama dunia. – MalaysiaGazette