Home Dunia Itali buka sempadan semula

Itali buka sempadan semula

Giuseppe Conte. foto Agensi

MILAN – Perdana Menteri Itali, Giuseppe Conte mengeluarkan garis panduan untuk melonggarkan sekatan perjalanan termasuk membuka sempadan kepada pengembara dari Eropah mulai bulan depan.

Kedai dan restoran juga dibenar dibuka semula mulai hari Isnin.

Kerajaan juga mengumumkan orang ramai tidak perlu lagi melakukan justifikasi perjalanan antara wilayah dan dibenarkan melawat keluarga dan rakan-rakan.

”Orang ramai bebas untuk pergi ke mana-mana mereka mahu – ke kedai, mendaki gunung, tasik dan pantai,” katanya.

Pengumuman itu dibuat selepas kes kematian koronavirus di Itali – ketiga tertinggi di dunia jatuh kepada 153 kes pada hari Sabtu – terendah sejak 9 Mac lalu.

Tetapi larangan pengembaraan antara wilayah dan luar negara masih kekal sehingga 2 Jun ini – cuti umum Hari Republik – bagi mengelakkan perjalanan besar-besaran berikutan cuti panjang.

Semua sekatan perjalanan akan ditarik semula mulai 3 Jun dan pengembara-pengembara dari negara Kesatuan Eropah dibenarkan memasuki negara ini tanpa perlu dikuarantin.

Conte berkata, keputusan untuk menarik balik larangan merupakan risiko yang sudah diambil kira.

“Kami berdepan dengan risiko dan kita perlu menerimanya, atau kita tidak akan bermula semula,” katanya.

Itali merekodkan 31,800 kes kematian Covid-19 sejak wabak itu dikesan di Lombardy pada 21 Februari lalu – tertinggi selepas Amerika Syarikat dan Britain. – MalaysiaGazette