KUALA LUMPUR – Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) menggesa pihak berkuasa untuk bersikap telus dan memaparkan senarai penerima Kemudahan Bantuan Khas (SRF) dan Skim Insurans Majikan (EIS) untuk mengelak penyalahgunaan bantuan tersebut.
Dalam kenyataan, Setiausaha Agung MTUC J. Solomon berkata, ini akan memudahkan akauntabiliti dua hala apabila pekerja dapat memastikan sama ada majikan mereka adalah penerima SRF atau EIS, dan jika demikian, nilai bantuan tersebut.
“Maklumat penting ini akan membantu pekerja yang diberhentikan atau dipaksa mengambil pemotongan gaji walaupun majikannya diberi bantuan kewangan untuk membawa kes mereka ke pihak berkuasa yang berkaitan,” katanya.
Beliau berkata, dalam tempoh beberapa minggu ini, terdapat banyak laporan mengenai pekerja dipaksa mengambil pemotongan gaji atau diberhentikan secara sewenang-wenangnya oleh majikan yang telah mendapat manfaat daripada pakej bantuan kerajaan seperti SRF.
“Walaupun kami menyatakan ini mungkin bukan norma, tanggungjawab kerajaan untuk memastikan dana tersebut tidak disalahgunakan semasa semua orang menyumbang untuk memastikan pekerja terus kekal,” katanya.
Solomon berkata kerajaan perlu memastikan bantuan kewangan yang bernilai berbilion ringgit itu mencapai matlamat terasnya untuk memastikan pekerja dikekalkan, dan memaparkan senarai penerima untuk memastikan kebertanggungjawaban daripada majikan dalam perusahaan kecil dan sederhana.
Beliau berkata hasrat murni kerajaan dalam pengagihan bantuan tidak dipertikaikan, bagaimanapun, skim tersebut tidak terlepas daripada risiko penyalahgunaan dan salah laku kewangan.
“Oleh itu, kerajaan perlu memasukkan senarai terperinci dalam laman web Bank Negara dan Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) untuk dilihat oleh semua orang. Mana-mana pekerja yang telah ditipu akan dapat membuat laporan dengan segera kepada pihak berkuasa,” kata Solomon. – MalaysiaGazette