Home Sukan Penajaan Sukan Sea-27 capai 98 peratus – KJ

Penajaan Sukan Sea-27 capai 98 peratus – KJ

Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaludddin Abu Bakar menyaksikan Ketua Pegawai Eksekutif Jawatankuasa Penganjur Sukan SEA Malaysia 2017, Datuk Seri Zolkples Embong (tiga kiri) menerima replika tajaan dari Ketua Grab Malaysia, Sean Goh (tiga kanan) pada Majlis Kerjasama Strategik di antara Malaysia Organising Committee (MASOC) dengan Grab Malaysia sempena Sukan Sea 2017 Kuala Lumpur di Petaling Jaya, Selangor. foto NOOR ASREKUZAIREY SALM, 22 MEI 2017

PETALING JAYA – Penajaan Sukan SEA Ke-29 dan Sukan Para ASEAN Ke-9 Kuala Lumpur 2017 kini sudah mencapai 98 peratus daripada RM80 juta sasaran yang diletakkan Kementerian Belia dan Sukan.

Menterinya, Khairy Jamaluddin Abu Bakar berkata, sasaran itu dicapai selepas Grab Malaysia menjadi penaja emas dan rakan utama penyediaan perkhidmatan panggilan kereta bagi acara sukan terbesar itu.

“Setakat hari ini, dengan penajaan daripada Grab Malaysia, sukacitanya saya umumkan bahawa kita dah sampai 98 peratus daripada sasaran kita iaitu RM80 juta penajaan Sukan SEA ke-29.

“Ada lagi 2 peratus dan ada beberapa perjanjian yang belum kita umumkan lagi,” katanya pada Majlis Grab Rakan Utama Penyediaan Perkhidmatan Panggilan Kereta Bagi Acara Sukan Sea ke-29 dan Sukan Para ASEAN ke-29 di sini, hari ini.

Turut hadir Ketua Pengurus Grab Malaysia, Sean Goh dan Ketua Pegawai Eksekutif Jawankuasa Pengelola Malaysia (MASOC) KL2017, Datuk Seri Zolkples Embong.

Khairy Jamaluddin berkata, dua lagi perjanjian penajaan yang belum dimuktamadkan itu bakal mencatatkan penajaan lebih 100 peratus dari segi perkhidmatan dan wang tunai.

Sebagai penaja emas, Grab Malaysia menganggarkan penajaan dalam acara sukan itu lebih RM6 juta merangkumi wang tunai, barang dan perkhidmatan serta sokongan promosi.

Grab Malaysia juga akan menyediakan beberapa inisiatif termasuk perkhidmatan Buggy Grab dari tempat pemeriksaan hingga ke pintu masuk stadium khas kepada pelanggan Grab, warga emas dan penonton. – MalaysiaGazette