Home Politik Kerajaan baharu Kedah jangan tumpu untuk hapuskan parti lawan – ISMA

Kerajaan baharu Kedah jangan tumpu untuk hapuskan parti lawan – ISMA

Presiden Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA), Aminuddin Yahaya

KUALA LUMPUR – Kerajaan Perikatan Nasional (PN) yang mengambil alih tampuk pentandbiran negeri Kedah diingatkan supaya menumpukan kebajikan rakyat dan bukan memberi tumpuan untuk menghapuskan parti lawan semata-mata.

Malah, kerajaan baharu negeri itu jangan sesekali mengulangi kesilapan kerajaan lalu, baik pada zaman Pakatan Harapan, Barisan Nasional mahupun Pakatan Rakyat, kata Presiden Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA), Aminuddin Yahaya berkata,

Beliau berkata, kerajaan PN Kedah harus memulakan kerja keras untuk membangunkan negeri itu dengan bersungguh-sungguh.

“Kami Ikatan Muslimin Malaysia yang mempunyai cawangan-cawangan dan capaian-capaian yang meluas dan kuat di negeri Kedah akan sentiasa menjadi pemantau kepada perjalanan pentadbiran negeri Kedah.

“Kami sentiasa bersedia dan berbesar hati untuk menawarkan bakti kami untuk sama-sama membangunkan negeri Kedah terutamanya dalam konteks masyarakat Islam dan Melayu,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Aminuddin berkata, pihaknya mengharapkan agar kerajaan negeri yang baharu itu tidak mengabaikan peranan badan bukan kerajaan (NGO) yang kebanyakannya serba kekurangan namun, tetap bekerja keras dan ikhlas berbakti di akar umbi masyarakat, malah, menjadikan NGO sebagai rakan kerjasama strategik bagi menggabungkan negeri

Ujarnya, banyak bidang yang boleh diusahakan bersama terutama dalam membangunkan ekonomi umat Islam khususnya memperkasakan kempen Beli Produk Muslim (BMF) di peringkat negeri Kedah secara rasmi.

“Kita mendoakan agar negeri Kedah akan dapat ditadbir dengan cemerlang yang akhirnya memberi manfaat yang melimpah kepada rakyat,” tambah beliau.

Sultan Kedah, Al Aminul Karim Sultan Sallehuddin Sultan Badlishah memperkenan pelantikan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jeneri, Muhammad Sanusi Md Nor sebagai menteri besar yang baharu.

Majlis angkat sumpah pelantikan menteri besar ke-14 itu diadakan di Pejabat Sultan Kedah di Wisma Darul Aman, Kedah, semalam. – MalaysiaGazette

1 Komen

Comments are closed.