Home Ekonomi Pelabur asing lupus RM843.2 juta minggu lalu

Pelabur asing lupus RM843.2 juta minggu lalu

KUALA LUMPUR – Jualan asing ekuiti tempatan melonjak minggu lalu kepada RM843.2 juta berbanding RM774.1 juta pada minggu sebelumnya.

Malaysia masih kekal sebagai negara ketiga terkecil dalam aliran keluar asing setakat ini selepas Indonesia dan Filipina, menurut MIDF Research.

Sehingga kini, pelabur asing telah membawa keluar sejumlah RM11.9 bilion dari Malaysia.

Pelabur asing menjual sebanyak RM159.9 juta disebabkan kebimbangan gelombang kedua jangkitan Covid-19 selepas sekatan perjalanan di Wuhan ditarik semula.

Jumlah dagangan di bursa melonjak kepada 9.6 bilion saham pada hari Rabu di tengah-tengah minat terhadap kaunter berkaitan penjagaan kesihatan kemungkinan gelombang kedua jangkitan Covid-19.

Firma penyelidikan itu menambah, barometer saham tempatan ditutup 1.3% lebih tinggi pada hari yang sama, disokong oleh pembelian ekuiti bernilai RM275 juta oleh institusi tempatan.

Tambahnya, aktiviti penjualan bersih asing meningkat lebih tinggi kepada RM239.6 juta.

MIDF Research menambah, momentum aliran keluar asing meningkat pada hari Khamis menjadi RM334.6 juta, setelah Wall Street merosot semalaman selepas para pelabur bimbang dengan kehancuran ekonomi disebabkan pandemik Covid-19 dan kenyataan berhati-hati oleh Pengerusi Lembaga Rizab Persekutuan Amerika Syarikat, Jerome Powell pada hari Rabu.

Hari Jumaat menyaksikan penurunan penjualan bersih asing kepada RM109 juta di tengah-tengah kenaikan pengeluaran perindustrian China untuk pertama kalinya sejak wabak Covid-19.

Pengeluaran industri meningkat 3.9% berbanding setahun sebelumnya, berbanding penurunan 1.1% pada bulan Mac.

Dari segi penyertaan, MIDF Research berkata, semua kumpulan pelabur menyaksikan kenaikan nilai dagangan purata harian (ADTV) sebanyak 44.1%, kembali melepasi RM1 bilion. – MalaysiaGazette