Semasa Malaysia mula melakukan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), kita dituduh ekstrem, tindakan tidak kompeten, merosakkan ekonomi dengan negara di selatan tanah air dan bermacam lagi.
Ramai pula yang memuji kecekapan Singapura dalam mengekang wabak COVID-19.
Antaranya pujian melambung daripada Ketua Wabak Global Organisasi Pertubuhan KesihatanSedunia (WHO) Dale Fisher pada 1 April bahawa Singapura sebagai salah satu negara paling aman untuk tinggal di tengah-tengah ketakutan penduduk dunia terhadap pandemik itu.
Ketika negara-negara berstatus ‘lockdown’ sedang bertungkus-lumus menguatkuasakannya, apa yang telah dilakukan Singapura berjaya menurunkan kes.
Bagaimanapun kisah hebat itu berkecai. Singapura kini sedang bertarung untuk memastikan penularan wabak Covid-19 yang meningkat berkali ganda.
Ia berpunca daripada kegagalan republik itu dalam menguruskan para migran yang bertebaran bekerja di seluruh negara pulau tersebut dan merupakan enjin kemakmuran negara.
Kes Covid-19 di Singapura meningkat tiga kali ganda sejak awal April menjadi lebih dari 3,200, dengan kebanyakan jangkitan baru berlaku dalam kalangan buruh dari India, Bangladesh dan negara-negara lain yang bersesak tinggal di asrama di pinggir bandar moden yang dibina hasil kudrat tulang empat kerat mereka.
Semalam, 15 Mei 2020, republik itu mengesahkan 793 lagi kes positif baharu menjadikan jumlah keseluruhan kes di Singapura mencecah 26,891 kes mengatasi Malaysia yang cuma mencatat 36 kes baharu, menjadikan keseluruhan 6,855 kes.
Malaysia harus mengambil iktibar dari insiden di Singapura. Tempoh waktu sekarang adalah kritikal.
Terdapat lebih dari dua juta pekerja migran yang sah di negara ini, dengan kira-kira 800,000 dari mereka di Selangor dan Kuala Lumpur yang perlu bergantung pada hanya 10 makmal BP Healthcare Group diagnostik untuk melakukan pemeriksaan Covid-19.
BP Healthcare Group adalah syarikat tunggal untuk menjalankan ujian Covid-19 ke atas pekerja migran di negara ini.
Kita khuatir sebagai satu-satunya penyedia perkhidmatan kesihatan yang diberi kuasa oleh Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) untuk menjalankan ujian Covid-19 percuma untuk ahlinya, isu pematuhan Prosedur Operasi Standard (SOP) pemeriksaan oleh BP Healthcare Group akan menyebabkan masalah dalam proses penyaringan.
Ini kerana sudah ada pihak membangkitkan perkara ini. Kata Setiausaha Agung Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC), J. Solomon beberapa hari lepas:
“Kami tertanya-tanya mengapa lebih banyak syarikat termasuk hospital swasta tidak terlibat untuk melakukan pemeriksaan Covid-19.
“Video memaparkan pekerja migran tanpa topeng muka dan secara total mengabaikan jarak sosial dilihat menunggu di barisan panjang di luar makmal BP di Lembah Klang telah menjadi tular (viral), sehingga menjejaskan kredibiliti kedua-duanya, Perkeso dan kerajaan,” dakwa Solomon.
Kerajaan sebelum ini mengarahkan ujian saringan terhadap pekerja dilakukan susulan pembukaan semula sektor ekonomi selepas pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) akibat wabak Covid-19.
Setakat 6 Mei lalu, seramai 44,500 pekerja telah menjalani ujian saringan Covid-19 menerusi Program Saringan Prihatin (PSP) Perkeso daripada 298,000 orang yang berdaftar dengan program tersebut.
Program berkenaan dijalankan oleh penyedia perkhidmatan dilantik Perkeso di 39 lokasi serta 120 unit bergerak di seluruh negara.
Jenis ujian saringan melibatkan dua fasa iaitu saringan RT-PCR (COVID-19 Reverse Transcriptase Polymerase Chain Reaction) yang dijalankan melalui pengambilan sampel daripada hidung dan mulut oleh penyedia perkhidmatan yang dilantik atau ujian RTK Antibody (Rapid Test Kit) yang dilakukan melalui sampel titis darah oleh panel klinik PSP Perkeso.
Cuma yang menggusarkan adalah timbul aduan daripada pekerja bahawa mereka tidak boleh mendapatkan temujanji untuk membuat ujian saringan.
Sementara yang lain memberitahu keputusan pemeriksaan akan mengambil masa sehingga dua minggu.
Menurut seorang pegawai makmal, jumlah pekerja asing yang tinggi menjalani saringan menjadi punca kelewatan itu.
Kaedah RT-PCR yang digunakan BP Healthcare memakan lebih banyak masa untuk mendapatkan keputusan.
Sumber kepada MalaysiaGazette yang enggan dinamakan turut membangkitkan satu lagi persoalan mengenai pemeriksaan RT-PCR yang dikatakan `agak murah’ sambil mendakwa ianya antara RM120 hingga RM150.
“Anda tidak boleh melakukan RT-PCR dengan harga seperti itu. Purata yang logik antara RM260 hingga RM360. Kuantiti pemberian kepada Perkeso mungkin lebih rendah tetapi tidak mungkin harganya ini. Mungkin antara RM180 hingga RM200.
“Kos ujian RT-PCR yang sama pun untuk kemudahan pekerja swasta dan kerajaan sahaja antara RM270-RM350 setiap orang. Persoalan juga timbul adakah ini melanggar SOP yang ditetapkan oleh KKM dan Majlis Keselamatan Negara (MKN)?
“Banyak sekali persoalan, mengapa walaupun ada tujuh makmal hanya satu sahaja diberikan kontrak ini? Kerana murah? Wujudkah kompromi ketika lakukan saringan? Saya tidak menuduh hanya sekadar membangkitkan persoalan.
“Saya ingin tahu bagaimana begitu murah? Ada juga dakwaan menggunakan kaedah ‘polling’ (perkongsian)? Pastinya tidak dibenarkan oleh KKM bukan? Adakah KKM tahu kerana harga yang langsung tidak masuk akal.
“Ingat ya, ini bukan perkara main-main. Ini adalah pandemik. Ini adalah krisis negara, bukan sesuatu yang kita boleh kompromi begitu sahaja, tolonglah. Saya mohon sangat-sangat,” ujarnya emosi.
Di sebalik itu, Perkeso pada Rabu lalu menjelaskan kit ujian pantas yang disyorkan oleh KKM tidak mudah diperoleh.
Oleh itu, Perkeso memutuskan fasa pertama pemeriksaan akan menggunakan kaedah RT-PCR, sementara menunggu penghantaran kit ujian pantas bagi ujian pada fasa akan datang.
Di sebalik isu-isu yang dibangkitkan, MTUC turut menekankan bahawa dana Perkeso, yang dimaksudkan untuk perlindungan sosial pekerja, tidak boleh digunakan untuk membayar pemeriksaan pekerja yang menjalani pemeriksaan Covid-19.
Ini kerana ia jelas merupakan tanggungjawab majikan untuk memberikan perkhidmatan tersebut.
“Lebih tidak adil bagi pekerja sekiranya Perkeso membayar BP (Healthcare Group) untuk tugas yang syarikatnya tidak mempunyai kemampuan untuk melaksanakannya sendiri,” luah Solomon.
Penulis yang juga sempat turun ke salah satu lokasi hangat di Glenmarie kelmarin dapat melihat sendiri keadaan tidak seperti sebelum ini, mungkin kerana selepas pengumuman oleh Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri M Saravanan.
Kata Saravanan, PSP akan mengutamakan pekerja asing dalam sektor pembinaan dan industri kawalan yang beroperasi di Selangor serta Kuala Lumpur sahaja.
Saringan hanya dibuat berdasarkan temu janji diatur syarikat terbabit dengan penyedia perkhidmatan PSP Perkeso yang dilantik, dengan ia dijalankan di tempat kerja atau premis penyedia perkhidmatan.
Keadaan nampak lebih tenang dan pihak berwajib BP Healthcare lebih mematuhi SOP berbanding sebelum beratus malah ribuan beratur panjang.
Lebih menyedihkan ianya juga berlaku dalam bulan Ramadan ketika ada dalam kalangan mereka-mereka sedang melakukan ibadah puasa, namun terpaksa beratur panjang sehingga berjam-jam.
Perkara itu juga diakui sendiri oleh golongan itu kepada penulis .
Malaysia dipimpin Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin kini berada di jalan yang betul dalam menangani penularan pandemik Covid-19.
Menteri Kesihatannya, Datuk Seri Dr Adham Baba turut bekerja keras dengan bertukar pandangan bersama Menteri-Menteri Kesihatan ASEAN mengenai kerjasama bagi meningkatkan tahap kesiapsiagaannya.
Begitu juga Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr. Noor Hisyam Abdullah yang mendapat pengiktirafan sebagai tiga doktor terbaik dunia yang tampil dari barisan pegawai kesihatan awam dalam mengendalikan wabak tersebut oleh China Global TV Network.
Cuma jangan ada `flip flop’ daripada pihak tertentu yang cuba menggagalkan usaha ini. – MalaysiaGazette