Home Nasional Kedah boleh jadi model pemerintahan Pas – Hadi

Kedah boleh jadi model pemerintahan Pas – Hadi

Abdul Hadi Awang

KUALA LUMPUR – Pertukaran kerajaan negeri Kedah mampu menjadi model pemerintahan Pas dengan harapan ia akan mendapat keredhaan Allah sempena bulan Ramadan yang mulia ini.

Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang berkata, Pas dan Perikatan Nasional (PN) akan memberi sokongan penuh kepada kepimpinan yang baru terbentuk di negeri itu.

Katanya, melalui peluang yang diberi oleh pimpinan di Kedah serta rakyat negeri itu Pas akan menunjukkan PN boleh menjadi kerajaan yang telus tanpa mengira agama, kaum dan politik.

“Sebelum kita jadi pemimpin atau kerajaan, kita jadi kerajaan kepada semua rakyat, (jadi kita) tidak terikat dengan bangsa, agama dan parti politik.

“Tanggungjawab kita membuktikan agenda parti secara khusus Pas dan PN secara umum untuk melancarkan Kerajaan Negeri Kedah dengan sebaik-baiknya dengan mendapat dokongan daripada pegawai-pegawai kerajaan dan pemimpin-pemimpin masyarakat,” katanya.

Abdul Hadi berkata demikian menerusi rakaman di laman Facebook rasminya susulan peralihan kuasa kerajaan negeri Kedah daripada Pakatan Harapan (PH) kepada PN.

Abdul Hadi mengucapkan setinggi-tinggi tahniah kepada PAS Negeri Kedah dan rakyat negeri itu yang telah memberi kepercayaan kepada pari pimpinannya untuk memimpin Kedah Darul Aman.

“Kita bersyukur kepada Allah SWT diatas kepercayaan yang diberi untuk Pas memimpin negeri Kedah, mengucap junjung kasih kepda Tuanku Sultan Salehuddin Sultan Badlishah yang telah menerima pencalonan daripada PAS.

“Terima kasih kepada rakan-rakan dalam PN daripada UMNO, Bersatu dan pihak lain yang telah menyertai kerajaan baru.

“Pas Pusat dan Perikatan Nasional akan memberi dukungan sepenuhnya kepada kerajaan negeri menjalankan pemerintahan dan bahtera petadbirannya untuk mencapai matlamat dan tujuan kita yang sebaik-baiknya,” kata beliau. – MalaysiaGazette