Home Nasional Lega orang ramai mahu tutup pintu semasa Aidilfitri

Lega orang ramai mahu tutup pintu semasa Aidilfitri

Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Memang hasrat kerajaan untuk melihat orang ramai menyambut hari raya Aidilfitri di rumah sahaja walaupun kebenaran untuk berziarah seramai 20 orang pada hari raya pertama, kata Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob

Jelasnya, setelah melihat kepada dapatan kaji selidik yang dijalankan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN) yang mana 74 peratus responden mahu menyambut hari raya secara tertutup, kerajaan percaya rantaian Covid-19 boleh diputuskan.

“Kalau inilah trendnya, saya tidak rasa bimbang sangat apabila majoriti mahu menutup pintu pada hari raya dan meraikannya bersama keluarga serumah sahaja.

“Inilah sebenarnya harapan kerajaan walaupun kita benarkan untuk ziarah Aidilfitri tidak melebihi 20 orang.

“Saya berharap kumpulan 20 peratus dan enam peratus tadi (berhasrat meraikan hari raya dengan bukan ahli serumah), mengikut trend 74 peratus itu.

“Jika kita buat seperti ini, kita boleh putuskan rantaian Covid-19,” katanya semasa sidang media harian hari ini.

Baru-baru ini MKN telah menjalankan satu kaji selidik bagi mendapatkan maklumat mengenai cara orang Malaysia untuk meraikan hari raya pada tahun ini susulan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).

Sejumlah 74 peratus daripada 215,712 responden mengatakan mereka berhasrat untuk tidak menerima tetamu dan meraikan Aidilfitri bersama ahli keluarga yang tinggal serumah sahaja.

Dua puluh peratus responden lagi mengatakan mereka hanya mahu membuka pintu kepada ahli keluarga terdekat sahaja manakala baki enam peratus berkata, mereka boleh menerima tetamu yang terdiri daripada ahli keluarga jauh dan jiran tetangga. – MalaysiaGazette