Home Nasional 21,656 permohonan rentas negeri diluluskan di Selangor

21,656 permohonan rentas negeri diluluskan di Selangor

Asisten Komisioner Muhammad Yazid Muhammad Yew
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Selangor, ACP Muhammad Yazid Muhammad Yew. foto AFIQ RAZALI, 13 APRIL 2020

SHAH ALAM – Polis Kontinjen Selangor tidak berkompromi dengan mana-mana pihak yang cuba membuat perjalanan rentas negeri tanpa sebarang permit ataupun kebenaran daripada ketua balai polis.

Jurucakapnya, Asisten Komisioner Muhammad Yazid Muhammad Yew berkata, ketegasan pihak polis boleh dilihat daripada jumlah permohonan rentas negeri yang diluluskan sejak 6 Mei lalu.

“Jumlah kumulatif dari 6 Mei hingga 17 Mei 2020, jumlah permohonan sebanyak 24,188 permohonan yang diterima.

“Namun jumlah yang diluluskan hanya 21,656 permohonan sahaja,” katanya pada sidang media di ibu pejabat Polis Kontinjen Selangor, hari ini.

Setakat semalam sahaja, hanya 2,280 permohonan sahaja yang diluluskan daripada 2,673 permohonan permit perjalanan rentas negeri yang diterima pihaknya.

“Setakat 17 Mei 2020, jumlah permohonan diterima sebanyak 2,673 untuk satu Selangor.

“Yang diluluskan hanya 2,280 sahaja, ini yang memenuhi syarat,” katanya.

Katanya lagi, Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) boleh diperkenalkan semula jika orang ramai masih ingkar arahan prosedur operasi standard (SOP) Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

“Justeru pihak polis akan terus memantau dan membuat pemeriksaan di lokasi awam.

“Sekiranya nasihat dan amaran tidak dipatuhi, kompaun sebanyak RM1,000 akan diberikan,” katanya.

Katanya, sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) pihaknya tidak membuat sebarang tangkapan, sebaliknya nasihat dan amaran sahaja diberikan kepada orang ramai.

“Setakat ini tiada sebarang tangkapan kebanyakannya banyak diberi nasihat dan setakat ini orang awam di Selangor mematuhi nasihat dan peraturan yang ditetapkan oleh kerajaan.

“Orang ramai dinasihatkan jika ada keperluan sahaja untuk keluar, selain daripada itu, sila berada di rumah.

“Elakkan daripada membawa anak-anak kecil ke tempat awam dan orang berumur yang berisiko jangkitan agak tinggi,” katanya lagi. – MalaysiaGazette