Home Nasional Muhyiddin tak terlibat lepaskan anak tiri Najib

Muhyiddin tak terlibat lepaskan anak tiri Najib

Muhyiddin Yassin

KUALA LUMPUR – Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin tidak terlibat dalam sebarang keputusan Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur yang melepas tanpa membebaskan anak tiri bekas perdana menteri Najib Razak, Riza Aziz.

Perkara itu dinyatakan Pejabat Perdana Menteri (PMO) dalam satu kenyataan, hari ini.

“Perdana Menteri ingin menegaskan bahawa beliau tidak terlibat dalam persetujuan melepas tanpa membebaskan Riza Shahriz Abdul Aziz daripada pertuduhan pengubahan wang haram berkaitan penyelewengan dana 1MDB,” kata PMO dalam satu kenyataannya, hari ini.

Muhyiddin dalam kenyataan satu muka surat itu turut berkata bahawa keputusan itu dibuat atas persetujuan yang dicapai pihak pendakwaan dan tertuduh melalui representasi yang dikemukakan kepada Pejabat Peguam Negara.

“Perdana Menteri mengulangi pendiriannya untuk tidak mencampuri urusan Pejabat Peguam Negara dan badan kehakiman dalam membuat apa-apa keputusan berkaitan kes-kes jenayah di negara ini termasuk kes-kes berprofil tinggi,” kata kenyataan itu lagi.

Kenyataan itu dipercayai dibuat ekoran satu komen yang dibuat bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad yang berkata keputusan terhadap kes Riza tidak pernah berlaku sebelum ini.

“Jika ini adalah dasar baru untuk Malaysia, maka semua pencuri dapat mencuri. Dan apabila mereka melakukannya, mereka pasti dapat menikmati separuh daripada wang itu sementara separuh lagi dipulangkan kepada kerajaan agar mereka tidak akan mendapat dihukum,” kata Mahathir dalam sidang media di Yayasan Perdana (YKP), Putrajaya hari ini.

Empat hari lalu, Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur melepaskan tanpa membebaskan Riza selepas persetujuan dicapai dengan pihak pendakwaan.

Dalam persetujuan itu, Riza perlu memulangkan semula aset dari luar negara dengan nilai anggaran AS$107.3 juta (RM465.3 juta).

Pada tahun lalu Riza dihadapkan dengan lima pertuduhan pengubahan wang haram bernilai AS$248 juta (RM1.25 bilion) membabitkan dana 1MDB. – MalaysiaGazette

1 Komen

  1. Orang tua ni dah nyanyok sebenarnya dan sedang ditunjukan dosa yang dilakukan sebelum.akhir hayat. Dis banyak menganiaya orang rasanya.

Comments are closed.