Home Politik MIC lancar ‘Uthavi’ bantu golongan memerlukan

MIC lancar ‘Uthavi’ bantu golongan memerlukan

Aplikasi yang dikenali sebagai ‘Uthavi’ (bantuan) bagi menyalurkan sumbangan keperluan asas dan makanan kepada golongan memerlukan khasnya ketika Covid-19.

KUALA LUMPUR – Sememangnya Covid-19 yang bukan sahaja sedang melanda dunia sebaliknya negara ketika ini ada juga hikmahnya.

Jika sebelum ini kita mendengar bantuan serta sumbangan secara besar-besaran akan diberikan kepada golongan memerlukan pada waktu-waktu tertentu atau bencana alam di sesetengah tempat.

Kini hampir seluruh negara sedang bertungkus lumus antara satu sama lain, bekerjasama tanpa latar belakang mahupun ideologi atau fahaman masing-masing tampil membantu golongan yang memerlukan.

Covid-19 telah memberi peluang kepada semua untuk memahami permasalahan mereka secara lebih dekat dan tidak hanya bergantung harap pada kerajaan semata-mata.

Begitulah luahan Presiden MIC, Tan Sri SA Vigneswaran ketika melancarkan sebuah aplikasi yang dikenali sebagai ‘Uthavi’ (bantuan) bagi menyalurkan sumbangan keperluan asas dan makanan kepada golongan memerlukan khasnya ketika Covid-19.

Kata Vigneswaran idea Uthavi wujud ketika negara sedang berhadapan dengan pandemik khasnya kumpulan miskin tegar serta terdesak memerlukan sumbangan berbentuk makanan secepat mungkin.

Presiden MIC, Tan Sri S. A. Vigneswaran (tiga kanan) diiringi Timbalan Presiden MIC, Datuk M. Saravanan (dua kiri) melakukan gimik perasmian pada Program Pelancaran Utavi di Menara Manickavasagam, Kuala Lumpur. foto SYAFIQ AMBAK, 18 MEI 2020.

“Dalam era teknologi dan maklumat di hujung jari ini lagi-lagi ketika kita sudah mula melalui satu fasa norma baru, hakikatnya aplikasi seperti Uthavi ini lebih daripada efisyen serta amat membantu bukan sahaja sekarang sebaliknya pada masa akan datang.

“Statistik kita ketika ini mungkin ada kekurangan, mungkin ada yang tercicir mungkin juga dulu tidak ada keperluan kini sudah ada dan pelbagai lagi sebab, kerana itu kami tampil dengan aplikasi ini.

“Aplikasi Uthavi ini sebenarnya akan memberi ruang kepada yang memerlukan untuk segera mendaftar diri dan latarbelakang, ini dilakukan dalam talian jadi maklumatnya juga dapat di simpan dengan lebih bersistematik.

“Pada masa sama, Uthavi juga memberi peluang kepada para penyumbang untuk tampil membantu menyumbang, segala maklumat itu dapat direkodkan.

“Kita juga telah wujudkan satu jabatan khas yang tugasnya hanya mengendalikan aplikasi ini,” katanya kepada pemberita pada majlis perasmian Uthavi di sini hari ini.

Presiden MIC, Tan Sri S. A. Vigneswaran bercakap pada Program Pelancaran Utavi di Menara Manickavasagam, Kuala Lumpur. foto SYAFIQ AMBAK, 18 MEI 2020.

Yang turut hadir dalam majlis ini termasuklah Timbalan Presiden MIC merangkap Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri M. Saravanan, Naib Presiden, Datuk T. Mohan dan Datuk T. Murugiah serta Ketua Wanita Kebangsaan, Usha Nanthini.

Vigneswaran yang juga Yang diPertua Dewan Negara juga berkeyakinan dengan wujudnya Uthavi, masalah-masalah teknikal yang dihadapi pimpinan MIC seluruh negara juga dapat diatasi dari segi pemberian sumbangan.

“Dulu mungkin kita buat secara manual. Kita bergantung harap dengan semua pemimpin pusat, bahagian dan ahli-ahli MIC untuk mengenalpasti, mencari dan sebagainya. Melalui aplikasi ini, kerja juga menjadi semakin mudah kerana sesiapa sahaja boleh mendaftarkan diri.

“Kemudian MIC di seluruh negara akan beroperasi mengagihkan bantuan berkenaan kepada yang memerlukan selepas mendapat data mereka dalam tempoh masa lebih cepat serta efisien.

“Pada masa ini, kita juga sudah ada penyumbang yang ada antaranya tidak mahu dikenali, mahu terus membantu dan menyumbang kepada kumpulan ini. Kita juga akan terus berusaha mencari lebih banyak penderma bagi memastikan semua pemohon tidak kira bangsa dapat dibantu,” ujarnya.

Beliau juga sudah memberi bayangan bantuan melalui Uthavi ini sebenarnya usaha MIC secara berterusan malah akan diperluaskan kepada bentuk lain termasuk pendidikan.

“Selama ini, sejak berpuluh tahun MIC melalui MIED sudah memberi bantuan pendidikan seperti pinjaman dan biasiswa dengan jumlah yang banyak. Usaha ini kita akan teruskan pada masa-masa akan datang.

“Banyak yang hendak kami lakukan, walaupun kita sentiasa di maki dan di cerca oleh segelintir pihak terutamanya kumpulan pembangkang tidak kira apa jua usaha dilakukan oleh MIC, namun hakikatnya itu tidak pernah pula bantutkan semangat kami,” tegasnya.

Ketika ini, Utavi boleh dilayari di http://uthavi.com.my manakala aplikasi Playstore boleh dimuat turun sebelum penghujung bulan ini. –MalaysiaGazette

9 Komen

  1. In my family so rich…in my home just 1 person only work….day payment…

  2. Saya nama sathiya,saya tidak kerja suda 3pulang,bos suda kasi beranti, saya ada anak3, 2ada OKU’ tolong bagi bantuan pls help me tuan!

Comments are closed.