KUALA LUMPUR – Keruntuhan kerajaan Pakatan Harapan (PH) adalah disebabkan perbuatan pemimpinnya sendiri dan bukan dikhianati oleh mana-mana pihak.
Kewujudan Perikatan Nasional (PN) pula merupakan penyelamat kepada rakyat yang mahu negara dikemudi oleh kerajaan agar tidak terumbang-ambing, kata Ketua Dewan Pemuda Ikatan Malaysia (DPIM), Shahir Adnan.
Justeru, Ahli-Ahli Parlimen PH wajar berhenti daripada menggunakan isu kerajaan pintu belakang kerana Yang Di-Pertuan Agong sendiri menyatakan bahawa Tan Sri Muhyiddin Yassin selaku Perdana Menteri ke lapan mempunyai sokongan majoriti Dewan Rakyat.
“Yang Di-Pertuan Agong jelas bersikap adil dengan memberikan sinopsis krisis politik tersebut yang terjadi rentetan peletakan jawatan Perdana Menteri ke-7.
“Jelas Perikatan Nasional bukan kerajaan pintu belakang,” katanya kepada MalaysiaGazette di sini hari ini.
Semalam, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Sultan Ahmad Shah bertitah mendedahkan baginda telah meminta Tun Dr Mahathir Mohamad untuk tidak melepaskan jawatannya sebagai Perdana Menteri.
Bagaimanapun, Dr Mahathir tetap dengan keputusannya hingga menyebabkan baginda bertanggungjawab untuk melantik seorang Perdana Menteri yang baharu.
Ia selaras dengan Perkara 43, Perlembagaan Persekutuan yang memberi kuasa budi bicara kepada Yang di-Pertuan Agong untuk lantikan tersebut.
Shahir berkata, berdasarkan kedudukan terkini Dewan Rakyat, seramai 114 Ahli Parlimen merupakan barisan Ahli Parlimen PN, manakala hanya 108 Ahli Parlimen PH dan bebas.
“Cukup-cukuplah bersandiwara dengan usul undi tidak percaya,” ujarnya.
Dalam pada itu, Shahir berharap agar Ahli Parlimen PN dan PH memberi fokus kepada kebajikan rakyat dan pembangunan ekonomi negara pasca Covid-19.
Katanya, rakyat kebanyakannya hilang mata pencarian pada waktu krisis penularan pandemik itu malah, negara juga berdepan kemelesetan ekonomi kerana kejatuhan harga minyak dunia dan kemerosotan perdagangan antara negara.
“DPIM berharap situasi politik negara bertambah stabil agar rakyat menikmati kemakmuran negara kita.
“Pada masa yang sama, Kerajaan Perikatan Nasional perlu telus dan bebas rasuah agar terus mendapat mandat rakyat pada PRU-15 (Pilihan Raya Umum) nanti,” tambahnya. – MalaysiaGazette