KUALA LUMPUR – Tindakan segelintir Ahli-Ahli ParlimenĀ pembangkang yang mempersoalkan langkah Dewan Rakyat hanya memberikan masa sejam untuk mendengar titah Yang diPertuan Agong semalam disifatkan hanya berpandukan objektif politik semata-mata.
Pandangan itu dilontarkan Pakar Undang-Undang, Prof. Datuk Salleh Buang apabila menganggap pembangkang seolah-olah tidak mahu faham tentang situasi yang sedang berlaku ketika ini.
Katanya, mereka sepatutnya berlapang dada dengan keputusan kerajaan yang tidak membenarkan mengambil masa lama kerana semua itu dibuat demi kebaikan bersama.
“Itu luahan orang politiklah, kita faham dia (pembangkang) takut.
“Mereka kena rasionallah. Pandangan dia sempit hanya berpandukan objektif politik sahaja. Mereka patutnya kena berlapang dada dengan mementingkan kesihatan,” katanya ketika dihubungi Malaysiagazette hari ini.
Salleh berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai tindakan Ahli parlimen PKR Kuala Langat, Datuk Dr. Xavier Jayakumar apabila menyifatkan sidang Parlimen semalam sebagai sampah dan tidak berguna.
Malah, perkara sama turut dibangkitkan bekas perdana menteri, Tun Dr Mahatir Mohamad apabila dilihat cenderung ke arah mempertikaikan titah Yang diPertuan Agong.
Mengulas lanjut, Salleh berkata, idealnya setiap kali pembukaan sidang Parlimen oleh Agong akan menyaksikan adanya usul menjunjung kasih dan perbahasan titah Diraja serta debat.
Bagaimanapun, semua itu tidak berlaku pada sidang Dewan Rakyat kali ini dan tindakan itu bukanlah satu keputusan yang dibuat secara suka-suka, sebaliknya ia berlandaskan kepentingan dalam memutuskan rantaian penularan Covid-19 yang sememangnya dikhuatiri seluruh lapisan masyarakat.
Tambah beliau, keadaan boleh kembali seperti biasa sekiranya pandemik yang berlaku berjaya diputuskan dan pada ketika itu wakil-wakil rakyat boleh mengeluarkan apa sahaja yang terbuku dihati mengikut peraturan ditetapkan Speaker Dewan Rakyat.
“Ini kita dalam keadaan darurat melibatkan kesihatan dan keselamatan rakyat, mereka (pembangkang) kena fahamlah.
“Kerajaan dah nak buat macam itu (tiada bahas), yang penting ia diwujudkan mengikut kehendak Perlembagaan,” katanya. – MalaysiaGazette