Home Nasional Sekolah tutup sukarkan KKM kesan pelajar tahfiz

Sekolah tutup sukarkan KKM kesan pelajar tahfiz

KKM turut mendapat kerjasama dari pelbagai pihak untuk menangani perkara itu dan mengakui ada juga sekolah tahfiz ditutup menyukarkan misi mendekati pelajar dan guru sekolah tersebut.-Gambar hiasan.

PUTRAJAYA – Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) telah menulis surat kepada lebih 1,000 sekolah madrasah tahfiz persendirian yang masih belum tampil menjalankan ujian saringan Covid-19.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr. Noor Hisham Abdullah berkata, pihaknya mendapatkan bantuan dan kerjasama JAKIM untuk menyelesaikan perkara itu.

“JAKIM telah senaraikan lebih 1,000 sekolah madrasah tahfiz persendirian yang masih belum tampil menjalani ujian saringan Covid-19 khususnya melibatkan pelajar, guru dan kakitangan mereka.

“Surat telah ditulis dan dihantar kepada kesemua sekolah-sekolah itu sebagai meminta mereka tampil segera melakukan ujian saringan untuk pelajar, guru dan kakitangan,” katanya dalam sidang media di Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) hari ini.

Noor Hisham menambah, KKM turut mendapat kerjasama dari pelbagai pihak untuk menangani perkara itu dan mengakui ada juga sekolah tahfiz ditutup menyukarkan misi mendekati pelajar dan guru sekolah tersebut.

“Kita harap kerjasama pelbagai pihak dan ada juga sekolah yang telah tutup tetapi yang penting adalah pelajar, guru dan kakitangan sekolah-sekolah tahfiz tampil dari mana juga lokasi semasa mereka dan jalani ujian, itulah nasihat yang kita boleh berikan,” tegas beliau.-MalaysiaGazette