PUTRAJAYA – Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menerima surat dari Persatuan Pengusaha Perkhidmatan Gunting Rambut yang merayu untuk membenarkan sektor itu beroperasi sepenuhnya.
Ketua Pengarahnya, Datuk Dr. Noor Hisham Abdullah berkata, persatuan itu mencadangkan Prosedur Operasi Standard (SOP) yang boleh dipatuhi dan dilaksanakan pihaknya sejajar dengan arahan kerajaan untuk memutuskan rantaian Covid-19.
Bagaimanapun, katanya, pihak KKM sedang meneliti dan memperhalusi SOP yang dicadangkan itu dengan SOP sedia ada yang dikuatkuasakan kerajaan untuk Covid-19.
“Kita telah menerima surat rayuan persatuan itu dan sedang lihat SOP sedia ada dan juga memperhalusi SOP yang dicadangkan pengusaha gunting rambut sendiri.
“Kita sedia maklum, ini (gunting rambut) adalah satu-satunya industri yang ada melibatkan sentuhan fizikal dengan pelanggan.
“Maka, kita sedang memprlahusi dan mahu memastikan bagaimana hendak mengelak jangkitan sekiranya dibenarkan beroperasi,” katanya dalam sidang media hari ini.
Dalam perkembangan sama, kata Noor Hisham, KKM juga dalam proses untuk mendapatkan jumlah pekerja asing yang terlibat dalam kerja gunting rambut di negara ini.
“Kami nak tahu berapa ramai pekerja asing yang gunting rambut, inilah data jumlah pekerja asing yang kita perlu dapatkan sebelum membuat sebarang keputusan untuk membenarkan mereka membuka kedai gunting rambut.
“Kita sedang meneliti segala SOP Covid-19 dan akan memperhalusi juga data jumlah pekerja asing itu dan langkah seterusnya sebelum tindakan akhir membenarkan mereka beroperasi,” tegasnya lagi. -MalaysiaGazette