Oleh: Prof Madya Dr. Zainul Akmar Zakaria
Tidak dinafikan krisis pandemik COVID-19 telah meninggalkan kesan langsung yang amat mendalam terhadap hampir keseluruhan sektor ekonomi mahupun sektor sosial disesebuah negara.
Malaysia sebagai salah sebuah negara membangun yang terutama di rantau ini turut tidak terkecuali menerima kesan ini termasuklah sektor pendidikan tinggi, yang mana kesan Covid-19 telah dirasai oleh hampir puluhan ribu pensyarah dan ratusan ribu pelajar di institut pengajian tinggi (IPT) negara terutamanya
dalam aktiviti pengajaran dan pembelajaran (P&P).
Selain dari aktiviti P&P, bidang pembangunan dan penyelidikan (R&D) yang turut merupakan tunjang utama terhadap misi kewujudan sesebuah IPT negara terutamanya IPT yang bestatus Universiti Penyelidikan (Research University,
RU), turut telah menerima kesan yang ketara.
Kesuburan bidang R&D negara, yang saban tahun dibuktikan antara lainnya, melalui jumlah penerbitan dalam jurnal berindeks yang setanding dengan negara-negara lebih maju yang lain, adalah disumbangkan dari sinergi para penyelidik di IPT yang terdiri dari para pensyarah, pegawai penyelidik, pegawai
sains dan lain-lain bidang perkhidmatan yang berkaitan.
Statistik yang dikeluarkan oleh Kementerian Pendidikan Malaysia menunjukkan bahawa pada tahun 2018, terdapat hampir 2,000 orang Profesor, lebih kurang 4,500 orang Profesor Madya dan sekitar 23,000 orang staf berjawatan Pensyarah di 20 buah Universiti Awam (UA) negara.
Ditambah dengan tingkat kesediaan yang pelbagai untuk menyesuaikan diri dengan pantas dalam ekosistem P&P semasa dan pasca-krisis Covid-19 ini, yang sudah mula dilabel sebagai “norma baharu”, tidak keterlaluan jika dinyatakan golongan Pensyarah merupakan mereka yang menerima kesan paling ketara dalam bidang R&D universiti.
Bilangan yang besar ini (23,000 orang atau 78% dari jumlah tenaga pengajar di UA) turut sebahagian besar terdiri dari para pensyarah muda yang sama ada baru menamatkan pengajian ijazah kedoktoran, berkhidmat kurang 5 tahun atau berumur kurang dari 45 tahun.
Tanpa perhatian, sokongan dan pengawasan sewajarnya dari pihak universiti, terdapat kemungkinan potensi sumbangan golongan ini tidak dapat digembleng dengan sepenuhnya dalam bidang R&D di UA. Ditambah pula oleh situasi
mencabar dan tidak menentu di era krisis Covid-19 ini.
Ini merupakan suatu hal yang seharusnya terus dipandang serius oleh UA demi memastikan kesuburan dan kecemerlangan R&D di UA/ IPT negara dapat diteruskan.
Antara cabaran utama yang dihadapi oleh hampir semua pensyarah/ penyelidik di universiti semasa krisis Covid-19 ini adalah proses pengumpulan data yang tergendala disebabkan keterbatasan pergerakan pelajar pasca-ijazah (antara komponen utama bidang R&D di universiti) ke makmal, kekangan perbelanjaan dana penyelidikan serta cabaran untuk memastikan penyelidikan yang dijalankan sekarang kekal relevan diwaktu era pasca-COVID-19 nanti.
Antara cabaran lain yang dihadapi termasuklah aktiviti persidangan dan seminar yang dijalankan secara dalam-talian semata-mata serta tidak dapat melakukan aktiviti lawatan-tapak, yang merupakan aktiviti penting terutamanya R&D yang
melibatkan penglibatan langsung pihak industri mahupun komuniti setempat.
Dengan hadirnya sokongan berterusan dari pihak universiti, adalah diharapkan para pensyarah/ penyelidik terutamanya golongan penyelidik muda ini dapat merubah perspektif masing-masing untuk menjadikan sebahagian besar cabaran
yang dihadapi dalam era krisis Covid-19 ini, kepada peluang yang boleh dimanfaatkan untuk terus meningkatkan kecemerlangan, upaya pembangunan diri serta sumbangan berterusan dalam menyuburkan budaya R&D di universiti.
Antara program yang diharap untuk diteruskan pelaksanaannya adalah penganjuran pelbagai program berbentuk perkongsian atau latihan secara dalam-talian bagi bidang-bidang yang relevan kepada pengukuhan R&D universiti seperti penerbitan, penulisan makalah, latihan permohonan geran penyelidikan, membina kerjasama erat antara universiti-industri-komuniti,
pengkomersilan dan perundingan serta bidang perlindungan harta intelek.
Selain daripada itu, adalah menjadi harapan juga agar program pembangunan individu secara berstruktur seperti program mentor-mentee turut dapat diterus dan diperkasakan. Para penyelidik senior seperti dari kalangan para Profesor dan Profesor Madya boleh menjadikan program sebegini sebagai platform rasmi untuk membantu pembangunan penyelidik muda kearah tahap penyelidik senior yang tersohor suatu masa nanti.
Penulis adalah Pensyarah dari Fakulti Kejuruteraan dan Program UTMSHINE, Pej. TNPCI, Universiti Teknologi Malaysia