KUALA LUMPUR – Gamat seketika suasana di bilik perbicaraan kes berprofil tinggi, 1Malaysia Development Berhad (1MDB) yang melibatkan pertuduhan penyewelengan bernilai RM2.3 bilion oleh bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.
Ini berikutan cara Hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, Collin Lawrence Sequerah menolak permintaan oleh Timbalan Ketua Pendakwaan, Datuk Seri Gopal Sri Ram dan ketua pasukan pembelaan, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah sebentar tadi.
Kedua-dua pasukan memohon kebenaran menambah bilangan peguam untuk hadir prosiding bagi membantu kes berprofil tinggi itu.
Permintaan itu tetap ditolak oleh Collin yang bertegas bahawa mahkamah perlu mematuhi prosedur operasi standard (SOP) pencegahan pandemik Covid-19.
“Kalau kamu mahu begitu ramai orang masuk untuk perbicaraan ini, apa kata kita buat sahaja perbicaraan ini di Pasar Borong Selayang. Baik kita ke sana kerana tidak ada sekatan.
“Berapa ramai yang anda mahu berada dalam mahkamah ini? Tidak ada gunanya ,” katanya menjawab cadangan supaya lebih banyak peguam dibenarkan masuk menyertai perbicaraan menggunakan pas orang awam.
Shafee kemudian memberi penjelasan ada beberapa peguam telah sampai begitu awal sekitar 7.45 pagi namun semua pas telah diambil.
“Mungkin boleh benarkan lima peguam menggunakan pas orang awam,” katanya.
Namun Collin tetap bertegas sambil menjelaskan garis panduan (SOP) penularan Covid-19 yang telah dikeluarkan perlu dipatuhi kerana ianya melibatkan keselamatan umum.
Terdahulu, Gopal Sri Ram turut membuat permohonan supaya pembantunya, Timbalan Pendakwa Raya, Ahmad Akram Gharib duduk di sebelahnya di mahkamah.
Kata Gopal kepada Collin beliau memerlukan Akram untuk membantunya berhubung eksibit semasa pemeriksaan ke atas saksi menggunakan budi bicaranya.
Namun Collin menolak tanpa kompromi.
“Dalam kes ini saya enggan menggunakan budi bicara saya. Saya akan tetap dengan arahan sekarang. SOP yang ada sekarang adalah untuk kebaikan semua.
“Jika anda mahu, sila tulis kepada Ketua Hakim Malaya,” tegas beliau sebelum terus menyambung perbicaraan dengan saksi ke-9, bekas Ketua Eksekutif 1MDB, Datuk Shahrol memberikan keterangan.
Sebelum ini, Shafee telah memohon supaya sembilan barisan peguam yang terlibat dengan kes 1MDB ini dibenarkan duduk dalam perbicaraan namun telah ditolak.
Hanya dua peguam tambahan telah dibenarkan bagi pihak pendakwaan dan pembelaan yang bertujuan mematuhi SOP Covid-19. –MalaysiaGazette
Nk sng lg gugur jer semua kes dan tutup terus mahkamah x payah nk bicara lg buang masa buang duit negara sbb bnyk fakta dan kes dh x releven lg semasa perbicaraan smpai bila nk abis.