Home Nasional Staf hotel lima bintang dedah tidak dibayar gaji

Staf hotel lima bintang dedah tidak dibayar gaji

Kamaruzaman Ishak
Wakil staf hotel, Kamaruzaman Ishak menunjukkan laporan polis yang dibuat berikutan tindakan pihak pengurusan hotel tidak membayar gaji mereka.

KUALA LUMPUR – Seorang staf hotel lima bintang menerusi akaun Facebook (FB) miliknya, Faliq Hafiz mendakwa tidak menerima gaji bulan April lalu.

Beliau turut menyiarkan kenyataan bahawa tiada caruman Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) dan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) sejak enam bulan lalu.

Menurutnya, staf hotel diminta bercuti tanpa gaji walaupun tidak menandatangani borang berkenaan.

Antara kenyataannya di laman FB itu adalah;
1) kami x dpt gaji bulan 4 lagi
2) perkeso x carum. PERKESO Selangor.
3) kwsp x carum 6 bulan. Kumpulan Wang Simpanan Pekerja
4) kene unpaid leave walaupon ada antara kami x sign borang tu.kami nk tgk pihak hotel tolak ke x duit itu.
5) gaji bulan 5 lagi mcm mana???

Dalam pada itu, Faliq ketika dihubungi wartawan mengesahkan kenyataannya itu dan memaklumkan kira-kira 300 staf hotel turut menerima nasib yang sama.

“Isu ini bermula pada Perintah Kawalan Pergerakan fasa pertama pada 18 Mac lalu, ketika itu kami diminta tandatangan untuk skim cuti tanpa gaji selama dua minggu.

“Bagaimanapun setelah PKP dilanjutkan, kami tidak lagi tandatangan kerana terkejut caruman KWSP, Perkeso serta gaji Mac sebelum PKP tidak dibayar.

“Kami dipaksa untuk tandatangan tetapi kami tidak melakukannya kerana bimbang implikasi seterusnya,” katanya.

Sementara itu, wakil staf Hotel Palace of Golden Horses berkenaan, Kamaruzaman Ishak memaklumkan beliau sudah membuat laporan polis di Balai Polis Sungai Besi pada 27 April lalu.

“Kami tidak dibenarkan menubuhkan kesatuan pekerja jadi kami wujudkan komuniti di kalangan staf untuk berbincang mengenai kebajikan masing-masing.

“Kami sudah memfailkan tuntutan di Jabatan Tenaga Kerja dan akan membawa isu ini kepada MTUC, Perkeso, KWSP dan Persatuan Pengguna Islam Malaysia.

“Sebagai pekerja kami ada hak untuk menyuarakan serta mendapat perlindungan sewajarnya mengikut undang-undang yang diperuntukkan,” katanya.

Sementara itu, Presiden Persatuan Usahawan Hotel dan Homestay Malaysia, Ahmad Yusri Abdullah menasihatkan staf terbabit untuk membuat aduan terus kepada KWSP, Perkeso dan Jabatan Tenaga Kerja kerana ia tertakluk kepada bidang kuasa masing-masing.

“Aduan mesti dikemukakan secara individu dengan membawa semua dokumen penting seperti penyata gaji bulanan dan tahunan serta surat tawaran kerja.

“Jika bersabit kesalahan, KWSP dan Perkeso akan mengenakan tindakan segera biasanya dalam tempoh 24 jam.

“Manakala jika gaji dipotong tanpa tandatangan atau sebarang makluman seperti memorandum syarikat mengenai pemotongan gaji atau cuti tanpa gaji dengan klausa tertentu, kakitangan wajar mendapat pembelaan.

“JTK akan menyiasat dan meneliti setiap aduan dari pekerja dan maklum balas dari majikan sebelum tindakan diambil,” katanya. – MalaysiaGazette