KUALA LUMPUR – Rumah-rumah ibadat bukan Islam yang berada di zon hijau dibenarkan untuk dibuka bermula 10 Jun ini.
Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, bagaimanapun mereka perlu mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang telah ditetapkan.
Antaranya adalah bilangan kehadiran mestilah tidak melebihi 30 orang tertakluk kepada saiz keluasan rumah ibadat tersebut.
Kebenaran tersebut juga jelasnya hanya diberikan sebanyak satu hingga dua hari sahaja dalam seminggu bagi hari keutamaan agama masing-masing, contohnya Ahad bagi penganut Kristian.
Penganut yang berumur 70 tahun ke atas dan kanak-kanak dibawah umur 12 tahun tidak dibenarkan hadir.
Saringan suhu badan, penyediaan hand sanitizer dan pemakaian pelitup muka mesti dipatuhi setiap masa
Kebenaran ini hanya untuk warganegara Malaysia, tegasnya.
“Hari ini Menteri Perpaduan Negara, Datuk Halimah Mohamed Sadique telah membentangkan kepada Mesyuarat Khas Menteri- Menteri berkenaan SOP rumah ibadat bukan Islam hasil rundingan dan persetujuan dari Ketua Badan Agama bukan Islam,” katanya semasa sidang media hari ini.
Tegasnya, kebenaran beroperasi boleh ditarik balik dengan serta merta sekiranya rumah ibadat tersebut didapati gagal mematuhi SOP.
Sebanyak 174 rumah ibadat di seluruh negara yang dibenarkan beroperasi, termasuk 84 kuil, 15 tokong, 67 gereja dan 8 Gurdwara.
Bagaimanapun, prosedur pelaksanaan urusan perkahwinan di kuil, gereja dan persatuan agama juga masih ditangguhkan.
Pegawai-pegawai Kementerian Perpaduan Negara termasuk Jabatan Perpaduan dan Integrasi Nasional telah dilantik sebagai pegawai pemantau di bawah Seksyen 3, Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342).
Kementerian Perpaduan Negara akan bekerjasama dengan Kerajaan Negeri untuk menyelaras pelaksanaan pembukaan rumah-rumah ibadat di peringkat Pihak Berkuasa Tempatan (PBT).- MalaysiaGazette