PUTRAJAYA – Rumah-rumah ibadat dibuka secara berperingkat dengan kapasiti pengunjungnya hanya 30 orang.
Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, keutamaan untuk menggunakan rumah ibadah tersebut diberikan kepada penjaga tempat itu.
“Sebagai contoh di masjid, penjaga akan diberi keutamaan seperti juga di gereja, kuil, gurdwara dan tokong .
“Kami berharap dapat memantau sebahagian besar pelaksanaan SOP (Prosedur Operasi Standard) dan kami gembira pelaksanaan SOP maka kami dapat meningkatkannya secara berperingkat,” katanya pada sidang media harian Covid-19 di kementerianya hari ini.
Menteri Kanan (Kluster Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dalam sidang medianya hari ini memaklumkan, rumah-rumah ibadat bukan Islam yang berada di zon hijau dibenarkan untuk dibuka bermula 10 Jun ini.
Bagaimanapun katanya, mereka perlu mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang telah ditetapkan.
Antaranya adalah bilangan kehadiran mestilah tidak melebihi 30 orang tertakluk kepada saiz keluasan rumah ibadat tersebut.
Kebenaran tersebut juga jelasnya hanya diberikan sebanyak satu hingga dua hari sahaja dalam seminggu bagi hari keutamaan agama masing-masing, contohnya Ahad bagi penganut Kristian.
Penganut yang berumur 70 tahun ke atas dan kanak-kanak dibawah umur 12 tahun tidak dibenarkan hadir.
Saringan suhu badan, penyediaan hand sanitizer dan pemakaian pelitup muka mesti dipatuhi setiap masa
Kebenaran ini hanya untuk warganegara Malaysia, kata Ismail. – MalaysiaGazette