Home Nasional Dakwaan 1,500 pelajar Malaysia di UK mahu pulang tak benar

Dakwaan 1,500 pelajar Malaysia di UK mahu pulang tak benar

Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Kerajaan United Kingdom (UK) telah mengumumkan pelanjutan visa sehingga 31 Mei ini bagi mereka yang telah tamat visa sejak 24 Januari lalu kerana Covid-19 dan dalam tempoh itu rakyat luar tidak dapat meninggalkan negara berkenaan.

Keputusan sama ada tarikh tersebut akan dilanjutkan lagi selepas 31 Mei ini hanya akan dapat diketahui menjelang tarikh
tersebut, kata satu kenyataan Kementerian Luar Negeri hari ini.

Baru-baru ini, British Airways telah membatalkan semua penerbangan mereka ke Kuala Lumpur di sepanjang bulan Jun ini dan terdapat beberapa orang pelajar yang terkesan dengan perkara itu.

Mereka telah mengemukakan aduan bertulis kepada Malawakil London dan kami sedang mengusahakan mereka untuk mendapat tiket penerbangan dengan Qatar Airways yang masih menawarkan penerbangan ke Kuala Lumpur dari London dan transit di Doha.

“Malaysian Airlines dijangka hanya akan menyambung operasi mereka di London sekitar awal Julai ini,” kata kenyataan yang sama.

Menurut Malawakil London, dakwaan bahawa terdapat 1,500 orang pelajar di UK yang telah menyatakan hasrat untuk pulang ke Malaysia dalam masa dua bulan akan datang adalah tidak benar.

“Hanya 200 orang pelajar telah menyatakan hasrat untuk pulang pada bulan Mei, manakala 631 orang pelajar ingin pulang pada bulan Jun 2020.

“Majoriti mereka merupakan pelajar tahun ketiga dan tahun akhir serta pelajar lepasan ijazah,” kata kenyataan yang sama.

Tarikh peperiksaan akhir adalah di antara pertengahan Mei dan pertengahan Jun ini dan ia bergantung kepada institusi pengajian masing-masing.

Pelajar-pelajar yang menduduki peperiksaan itu kebanyakannya masih mempunyai visa yang sah.

Sehubungan itu, tempoh akhir pelanjutan visa sehingga 31 Mei ini yang diumumkan oleh Kerajaan UK sepatutnya tidak melibatkan para pelajar tersebut.

Malah pelajar yang belajar di UK lebih daripada 12 bulan akan dibenarkan untuk terus tinggal di UK sehingga empat bulan
selepas tarikh akhir kursus pengajian.- MalaysiaGazette

1 Komen

  1. Ada can tambang free why not try, orang melancung entah mana2 pun dpt balik free.. yelah mana tau nak jd cam ni.

Comments are closed.