Oleh: Dr Muzaffar Syah Mallow
Ramadan Al–Mubarak sudah hampir sampai ke penghujungnya. Rata-rata umat Islam di serata dunia termasuk di Malaysia kini sedang sibuk siap sedia menyambut kedatangan hari raya. Walaupun suasana sambutan hari raya pada tahun ini agak berbeza dengan tahun-tahun sebelumnya akibat daripada penularan Novel Koronavirus (Covid-19), setiap kali datangnya hari raya, sudah menjadi satu kebiasaan dikalangan orang ramai untuk berbelanja bagi menyediakan segala jenis persiapan serta
kelengkapan bagi menyambut kedatangan hari lebaran
berkenaan. Ada diantara mereka yang sanggup mengeluarkan dan berbelanja banyak wang ringgit semata-mata bagi menyambut hari yang hanya muncul setahun sekali ini. Ada juga dalam kalangan mereka yang sampai sanggup berhutang supaya hari lebaran yang bakal tiba dapat disambut dengan penuh meriah berdasarkan prinsip raya hanya datang setahun sekali dan prinsip biar papa asalkan bergaya.
Dalam menyediakan segala jenis persiapan dan kelengkapan bagi menyambut kedatangan hari lebaran yang bakal tiba tidak lama lagi, adalah penting supaya setiap daripada kita untuk merancang perbelanjaan serta tidak mengamalkan sikap boros berbelanja. Walaupun hari raya cuma datang setahun sekali namun ia tidak bermakna kita harus membelanjakan banyak wang serta sanggup berhutang semata-mata untuk menyambut hari raya lebih-lebih lagi dikala apabila negara kita serta hampir semua negara dunia sedang mengalami masalah pertumbuhan ekonomi akibat daripada penularan virus Covid-19.
Ketidakstabilan pasaran kerja pada ketika ini juga menuntut
kita mengamalkan gaya hidup yang lebih bersederhana dan berjimat-cermat. Penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) yang melarang orang ramai untuk pulang ke kampung bagi menyambut hari raya serta arahan menghadkan jumlah ziarah ke rumah terbuka hari raya perlu dijadikan ingatan kepada semua pihak untuk tidak menyambut hari raya pada skala yang besar pada tahun ini. Adalah penting untuk kita ketahui tujuan utama sambutan hari raya itu sendiri. Hari raya atau Aidilfitri disambut khusus oleh umat Islam bagi meraikan kemenangan menahan diri dengan berpuasa dari makan dan minum serta segala perkara yang boleh membatalkan ibadah puasa itu sendiri sepanjang bulan Ramadan.
Kedatangan bulan Ramadan bukan sahaja menuntut umat Islam menjalani ibadah puasa malah turut juga mengajar umat Islam untuk menjadi insan yang sederhana dalam menjalani kehidupan seharian. Konsep kesederhanaan ini amat diberi penekanan oleh
ajaran agama Islam itu sendiri. Umat Islam tidak sepatutnya
melakukan sebarang perkara yang boleh membawa kepada
pembaziran, kemudaratan serta sia-sia. Perkara ini selaras
dengan perintah Allah SWT di dalam al- Qur’an yang
bermaksud “Dan juga mereka (yang diredhai Allah itu ialah)
yang apabila membelanjakan hartanya, tiadalah melampaui
batas dan tiada bakhil kedekut; dan (sebaliknya) perbelanjaan mereka adalah betul sederhana antara kedua-dua cara itu” Surah al – Furqan: Ayat 67.
Oleh yang demikian, adalah tidak wajar sekiranya kedatangan hari raya ini diisi dengan pembaziran serta perkara yang membawa kepada kemudaratan dan sia-sia pada diri sendiri. Tidak salah untuk kita melakukan pelbagai jenis persiapan dan kelengkapan untuk menyambut hari raya, namun ianya harus dilakukan dengan bijaksana dan tidak membawa kerosakkan kepada diri kita sendiri. Perkara utama yang paling harus diberi penekanan ketika ingin melakukan proses persiapan hari raya nanti ialah untuk kita berbelanja mengikut kemampuan diri kita sendiri.
Bak kata peribahasa melayu, ukur baju dibadan sendiri, kita haruslah berbelanja mengikut kemampuan diri kita sendiri. Kita tidak seharusnya mengikut cara hidup orang lain. Setiap orang memiliki tahap kemampuan kewangan masing-masing. Sebarang proses perbelanjaan yang tidak mengikut tahap kemampuan kewangan kita akan menyebabkan kita mengalami masalah kewangan serta memudahkan kita untuk terjerumus ke kancah hutang. Hutang yang tidak berjaya dibayar boleh menyebabkan diri kita jadi jatuh muflis. Oleh itu, adalah penting untuk kita semua untuk tidak melakukan proses perbelanjaan di luar kemampuan diri kita sendiri sehingga boleh menyebabkan diri kita terjebak dalam kancah hutang serta menjadi muflis.
Setiap orang harus merancang perbelanjaan mereka sebelum mereka keluar dari rumah untuk berbelanja ataupun melakukan proses perbelanjaan secara atas talian atau online. Mereka harus tahu membezakan antara keperluan dan kehendak ketika ingin membeli sesuatu barangan. Proses perbelanjaan harus diutamakan terhadap barangan yang menjadi keperluan asas kepada diri mereka dan bukannya berdasarkan kehendak hati atau nafsu mereka.
Mereka perlu menjadi seorang pengguna yang bijak dengan rajin bandingkan harga barangan yang dijual antara satu peniaga dengan peniaga yang lain. Sambutan hari raya juga bukan lesen untuk mereka menukar segala perkakas yang ada di rumah dan membeli barang-barang baru seperti perabot, karpet, langsir, dan lain-lain lagi. Di dalam perkara ini, mereka harus mempraktikkan amalan kitar semula dan mengunakan daya kreativiti sendiri supaya rumah mereka dapat kelihatan menarik, bersih dan baru sesuai dengan sambutan hari raya seperti dengan menyusun atur semula perabot yang ada dalam rumah serta membersihkan sendiri segala perkakas atau barangan yang ada dalam rumah.
Perlu diketahui, kehidupan kita semua tidak hanya berpaksi
terhadap sambutan hari raya semata-mata. Kita masih memerlukan banyak wang untuk menjalani kehidupan seharian selepas tamatnya musim raya nanti. Keadaan persekitaran ekonomi yang tidak menentu pada ketika ini akibat daripada penularan virus Covid-19 ini menuntut kita semua untuk lebih berhati-hati ketika berbelanja. Adalah lebih baik sekiranya kita melakukan amalan berjimat cermat serta bijak berbelanja. Amalan menyimpan dan menabung wang perlu diutamakan demi masa depan diri sendiri dan keluarga.
Penulis adalah pensyarah kanan Fakulti Syariah & Undang-undang (FSU), Universiti Sains Islam Malaysia (USIM).