![PPZ MAIWP SERAH SUMBANGAN KEPADA GELANDANGAN KL](https://staging.malaysiagazette.com/wp-content/uploads/2020/05/MGF22052020_PPZ-MAIWP-SERAH-SUMBANGAN-KEPADA-GELANDANGAN_19-640x427.jpg)
KUALA LUMPUR – Kurang 48 jam sebelum sambutan Hari Raya Aidilfitri, golongan gelandangan antara insan yang paling bertuah menerima pelbagai sumbangan walaupun dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).
Walaupun golongan ini bersendirian di ibu negara, tetapi 864 gelandangan sebelum ini telah diselamatkan dan ditempatkan sementara di 12 penempatan gelandangan sepanjang tempoh PKP sejak 18 Mac lalu.
Namun Pusat Transit Gelandangan Kuala Lumpur di Jalan Pahang masih menerima penghuni yang tidak bernasib baik untuk berteduh dan mendapat perlindungan khususnya dalam tempoh PKPB ini.
![](https://malaysiagazette.com/wp-content/uploads/2020/05/MGF22052020_PPZ-MAIWP-SERAH-SUMBANGAN-KEPADA-GELANDANGAN_12-1024x683.jpg)
Golongan ini boleh menarik rasa lega dan mula tersenyum sebaik sahaja Pusat Pungutan Zakat (PPZ) Wilayah Persekutuan menyantuni mereka dalam Program Syukuri Nikmat Menjelang Hari Raya Bersama Gelandangan, pagi tadi.
Kehadiran PPZ sebenarnya untuk berkongsi kegembiraan bersama golongan itu untuk meraikan Hari Raya Aidilfitri yang dijangka disambut pada Ahad ini.
Seramai 50 gelandangan di pusat transit itu disantuni PPZ dengan memberikan sumbangan berupa pakaian dan duit raya, sekali gus dapat membantu meringankan sedikit beban kepada golongan tidak bernasib baik itu.
![](https://malaysiagazette.com/wp-content/uploads/2020/05/MGF22052020_PPZ-MAIWP-SERAH-SUMBANGAN-KEPADA-GELANDANGAN_03-1024x683.jpg)
Menurut Nor Shahrin Man, 44, dari Bera Pahang, dia mengharapkan tahun ada sedikit perubahan kepada dirinya termasuk mampu berdikari dan mendapat pekerjaan di luar sana.
“Alhamdulillah tahun ini ada sikit perubahan daripada tahun lepas, di mana ada bantuan, dapat pula bayar zakat fitrah.
“Harapan saya sebab duduk sini pun sementara saja, selepas ini akan keluar, ubah hidup dan dapat pekerjaan baru.
“Buat masa ini saya kerja dalam Pusat Transit Gelandangan Kuala Lumpur,” katanya ketika ditemui MalaysiaGazette, hari ini.
![](https://malaysiagazette.com/wp-content/uploads/2020/05/MGF22052020_PPZ-MAIWP-SERAH-SUMBANGAN-KEPADA-GELANDANGAN_01-1024x683.jpg)
Sementara itu, bagi Sufian Suri Hashim pula, 47, dari Tanjong Karang Selangor, dia berharap nasibnya akan bertambah baik selepas ini dan mampu bekerja seperti orang lain.
“Sekarang ini ada buat sarung tangan di sini, alhamdulillah di sini ada pendapatan sikit.
“Tengok lepas Covid-19 macam mana, kalau ada peluang kerja di luar, saya akan keluar.
“Buat masa ini saya duduk di sini dulu,” katanya lagi. – MalaysiaGazette