Home Nasional Jalan TAR, Sogo tetap tumpuan warga kota buat persiapan Aidilfitri

Jalan TAR, Sogo tetap tumpuan warga kota buat persiapan Aidilfitri

Tinjauan orang ramai keluar membeli belah bagi persiapan menjelang hari raya Aidilfitri yang bakal tiba di sekitar Kuala Lumpur. foto AFIQ RAZALI, 22 MEI 2020

KUALA LUMPUR – Walaupun kerajaan memutuskan untuk tidak membenarkan orang ramai membuat rentas negeri berkuatkuasa serta-merta sejak semalam, ia tidak menghalang orang ramai membuat persiapan Aidilfitri.

Memandangkan warga kota terpaksa berhari raya di rumah masing-masing, pasar raya dan pusat-pusat beli-belah mula menjadi tumpuan orang ramai yang membuat pembelian pada saat-saat akhir.

Tinjauan MalaysiaGazette di sekitar Jalan Tunku Abdul Rahman (TAR) mendapati orang ramai mula berpusu-pusu di beberapa premis perniagaan di sepanjang Jalan TAR, sejak tengahari tadi.

Antara pusat beli belah yang menjadi tumpuan adalah Sogo, yang mana orang ramai kelihatan beratur panjang sehingga 10 meter di luar premis dengan mengamalkan penjarakkan sosial.

Seperti mana premis perniagaan lain, Kompleks Beli Belah Sogo tidak terkecuali perlu mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP) yang ditetapkan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Walaupun jumlah pelanggan jauh lebih ramai berbanding hari biasa, pihak keselamatan pusat beli-belah itu tetap menghadkan jumlah orang ramai dalam satu-satu masa.

Orang ramai bukan sahaja mematuhi penjarakkan sosial 1 meter antara satu sama lain di luar premis, bahkan di dalam Sogo pun mereka mematuhi SOP itu.

Meskipun banyak tawaran dan diskaun diberikan Sogo, namun keadaan orang ramai masih terkawal, tidak berebut-rebut untuk membeli-belah seperti musim-musim perayaan sebelum ini.

Pengunjung mematuhi penjarakan sosial sebelum dibenarkan memasuki pusat beli Sogo bagi membuat persiapan menjelang hari raya Aidilfitri yang bakal tiba di sekitar Kuala Lumpur. foto AFIQ RAZALI, 22 MEI 2020

Tinjauan di dalam premis Sogo juga mendapati pusat beli-belah itu membuat laluan khas di kaunter bayaran secara satu laluan sahaja bagi mengelakkan kesesakan.

Bagi butik-butik di dalam premis Sogo pula, mereka menghadkan sehingga 10 orang pada satu-satu masa dan kelihatan pengunjung tetap beratur sebelum dibenarkan masuk.

MalaysiaGazette juga mendapati pihak pengurusan Sogo juga menutup sepenuhnya semua bilik persalinan di setiap tingkat yang menjual pakaian.

Suasana membeli-belah di Sogo ketika tinjauan persiapan menjelang hari raya Aidilfitri yang bakal tiba di sekitar Kuala Lumpur. foto AFIQ RAZALI, 22 MEI 2020

Orang ramai pula patuh kepada arahan itu dan hanya membeli pakaian tanpa mencuba bagi mengelakkan jangkitan Covid-19.

Sementara itu, di bahagian pasar raya pula, tinjauan MalaysiaGazette mendapati orang ramai hanya dibenarkan masuk tidak lebih 90 orang dalam satu-satu masa.

Tiada kesesakan orang ramai berlaku di bahagian pasar raya Sogo manakala harga barang kawalan pula dipatuhi dan dilabelkan bagi memudahkan orang ramai membuat pembelian.

Bagaimanapun masih ada ibu bapa yang berdegil kepada arahan kerajaan yang melarang membawa anak-anak kecil ketika membuat pembelian. – MalaysiaGazette