KOTA BHARU – Bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir dilihat amat terdesak untuk memastikan kelangsungan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) sehingga sanggup menandatangani petisyen pembebasan seteru utamanya suatu ketika dahulu, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Malah Ketua Penerangan UMNO, Tan Sri Annuar Musa menyifatkan Dr. Mahathir hanya mahukan sokongan daripada PKR dan bukannya ikhlas melakukan semua perkara itu.
Katanya, bahasa badan Pengerusi PPBM itu jelas bahawa beliau tidak selesa dengan keputusan PKR untuk menjadikan Anwar sebagai Perdana Menteri Malaysia yang ketujuh.
“Orang lain angkat sepanduk beliau sibuk bermain telefon bimbit. Berdasarkan pengamatan saya, beliau sebenarnya dengan jelas menyebut Anwar bukan orang yang sesuai menjadi Perdana Menteri.
“Kalau pun dia sokong Anwar, saya yakin di hati kecilnya, beliau memang tidak mahu Anwar menjadi perdana menteri sampai bila-bila,” katanya di sini hari ini.
Kongres Nasional Tahunan PKR Ke-12 baru-baru ini memutusukan sokongan penuh terhadap Anwar sebagai Perdana Menteri ketujuh.
Bagaimanapun Presiden PPBM, Tan Sri Muhyiddin Yassin bersama Dr. Mahathir tidak menangkat poster ‘Anwar PM ke-7’ sepertiman pemimpin Pakatan Harapan dan ahli PKR yang hadir pada kongres tersebut.
Annuar yang juga Ahli Parlimen Ketereh berkata, untuk merealisasikan hasrat tersebut, tumpuan utama PKR adalah untuk membebaskan Anwar dari penjara seperti mana yang diperjuangkan oleh parti itu sejak sekian lama.
Katanya, pemimpin pembangkang terutama DAP tidak pernah senang dengan tindakan PKR itu tetapi demi untuk mendapatkan undi Melayu mereka sanggup melakukan apa saja.
“Mereka menyokong PKR bukan kerana percaya kepada Anwar tetapi demi memastikan PKR terus menjadi alat mereka,” katanya. – MalaysiaGazette