Home Nasional Noor Hisham beraya dengan kakitangan hospital

Noor Hisham beraya dengan kakitangan hospital

Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia, Datuk Dr. Noor Hisham Abdullah hadir pada sidang media perkembangan terkini jangkitan Covid-19 di Kementerian Kesihatan Malaysia, Putrajaya. foto IQBAL BASRI, 30 APRIL 2020.

PUTRAJAYA – Datuk Dr Noor Hisham menyatakan beliau akan beraya bersama kakitangan hospital pada hari raya pertama Aidilfitri.

Katanya, ia merupakan rutin yang dilakukan saban tahun dan tidak ada beza seperti tahun sebelumnya.

“Setiap tahun sebelum ini, saya sambut raya di hospital pada hari raya pertama dan akan pergi hospital untuk bertemu kakitangan barisan hadapan.

“Raya tahun ini tidak ada beza kerana mungkin saya akan bersolat hari raya di rumah dan pergi ke hospital untuk bersama dengan kakitangan kesihatan,” katanya pada sidang media harian Covid-19 di kementeriannya, di sini hari ini.

Dalam pada itu, Noor Hisham menasihatkan orang ramai supaya terus mematuhi prosedur operasi standard (SOP) Kementerian Kesihatan (KKM) sepanjang sambutan Aidilfitri ini.

“Sambutan Aidilfitri tahun ini pastinya berbeza daripada tahun sebelum ini, namun ia tetap diraikan dengan semangat sama.

“Malah, sambutan di rumah sendiri bersama ahli keluarga mungkin dapat memberi makna baharu kepada kita semua kerana berpuasa ketika penularan wabak Covid-19 mengajar kita semua erti kesabaran dan pengorbanan,” katanya. – MalaysiaGazette