PETALING JAYA – Kesusahan hidup seorang ibu yang tidak mampu menyara lima anaknya selepas suami meninggal dunia lima tahun lalu, mengakibatkan Siti Nor Aisyah Azmi dan kakaknya dihantar ke Pertubuhan Kebajikan Anak Yatim dan Asnaf Amal.
Tidak ada marah, tidak ada dendam kepada ibunya, sebaliknya Siti faham mengapa dia yang berusia 15 tahun dan kakaknya, 20, dihantar ke situ.
“Saya faham keadaan mak,” ringkas katanya kepada MalaysiaGazette.
Empat tahun tinggal di rumah anak yatim dan asnaf itu, tahun ini adalah pertama kali mereka dua beradik tidak dapat pulang ke kampung meraikan Aidilfitri bersama ibu dan tiga adik-beradik yang lain kerana kerajaan tidak membenarkan rentas negeri demi mengawal penularan wabak Covid-19.
Meskipun mempunyai tiga lagi abang namun nasib keluarga mereka nyata kurang bernasib baik apabila tiga-tiga anaknya juga tidak mampu untuk menyara mereka berdua.
Ditanya tentang perasaannya, Siti berkata tahun ini sangat lain daripada tahun-tahun sebelumnya, meskipun berjauhan untuk satu tempoh yang lama demi membantu meringankan beban ibu yang susah, namun raya akan ada sehari atau dua anak yatim itu bertemu ‘syurganya’, namun bukan kali ini.
“Tahun ini memang lain sangat, beza sebab tidak pernah lagi raya tanpa mak, sebelum ini kami tetap dibenarkan juga pulang ketika beraya dalam lebih kurang,”tambahnya.
Namun apa yang perlu dilakukan oleh Siti tidak lain selain daripada menerima keadaan ini dalam menyambut Aidilfitri tahun ini.
Berazam untuk membantu ibunya yang hanya bekerja sebagai pembantu taska, remaja itu bercita-cita untuk menjadi ustazah.
Selain dia dan kakaknya, seorang anak asnaf berumur 8 tahun juga ditakdirkan beraya di Pertubuhan Kebajikan Anak Yatim dan Asnaf Amal pada tahun ini dalam suasana yang bersejarah buat semua umat Islam seluruh negara.- MalaysiaGazette
Sabar lah pasti ada cahaya yg menyinar dlm hudup kalian nanti