Home Nasional Penghantaran pulang pelajar kampus dipercepatkan

Penghantaran pulang pelajar kampus dipercepatkan

Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob
Ismail Sabri Yaakob

KUALA LUMPUR – Proses menghantar pulang pelajar yang  terkandas di kampus dan kolej kediaman Institusi Pengajian Tinggi (IPT) akan diteruskan 26 Mei ini.

Ia lebih awal dua hari berbanding tarikh awal pada 28 Mei ini.

Menteri Kanan Keselamatan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, perubahan pada tarikh pelaksanaan itu dibuat selepas ia dibincangkan dan dipersetujui dalam mesyuarat bersama Majlis Keselamatan Negara dan Kementerian Kesihatan pagi tadi.

“Mengenai pelajar di kampus, apabila saya umum bahawa kepulangan pelajar dari kampus universiti dihentikan sementara dan akan dimulakan pada 28 Mei ini (Khamis) ramai ibu bapa menghantar pesanan WhtsApp kepada saya merayu.

“Begitu juga pelajar yang merayu hendak pulang juga kerana mereka tentu akan terlepas sambutan hari raya bersama keluarga mereka jika pulang 28 Mei ini.

“Jadi kita bincangkan pelbagai rayuan ibu bapa dan pelajar pagi tadi dalam mesyuarat dan membuat keputusan supaya mempercepatkan proses penghantaran itu mulai 26 Mei ini,” katanya dalam sidang media di Putrajaya hari ini.

Tambah  beliau setakat ini, pihak kerajaan berjaya menghantar pulang seraai lebih 50,000 pelajar dari kampus ke kampung halaman mereka dan hanya tinggal sekadar lebih 7,000 orang sahaja.

Menurutnya, disebabkan faktor tertentu dari kerajaan negeri Sabah misi menghantar pulang pelajar ke kampung halaman dihentikan seketika.

“Kini apabila nak mulakan semula dua tiga hari ini dihentikan pula oleh kerana cuti raya tetapi KPT telah diminta berbincang dengan pesawat yang akan membawa mereka pulang yang mana akhirnya bersetuju hantar pulang pelajar ke Sabah dan Sarawak pada raya ketiga yang pasti melegakan ibu bapa dan pelajar.

“Seramai 1,480 pelajar dijadualkan akan diterbangkan pulang pada 26 Mei ini menerusi 4 penerbangan dari KL ke Kota Kinabalu.

“Manakala dua penerbangan dari Kuching ke Kuala Lumpur melibatkan 332 pelajar yang mana kesemua pelajar yang akan dihantar pulang telah menjalani saringan kesihatan atau swap test di ksmpus universiti masing-masing,” ujarnya.

Dalam perkembangan lain Ismail Sabri juga menjelaskan Kementerian Perpaduan Nasional diminta menyediakan Prosedur Operasi Standard (SOP) bagi membolehkan jawatankuasa Rukun Tetangga KRT untuk membuat rondaan sukarela di kawasan komuniti mereka untuk menentukan penduduk mematuhi peraturan kerajaan.

“Kita dapat permohonan KRT untuk buat rondaan di skim rondaan sukarela di kawasan mereka dan mesyuafrat juga bersetuju membenarkannya dan kementerian berkaitan diminta sediakan SOP untuk melaksana rondaan sebab ia adalah salah satu program memperkasa komuniti.

“Saya juga pernah meminta ketua kampung, Jawatankuasa Masjid dan surau terlibat dalam program ini maka kita alu-alukan permohonan KRT ini melakukan rondaan pematuhan SOP oleh penduduk,” tegasnya lagi.-MalaysiaGazette