Home Utama ‘Ramai tak suka ada SOP hari raya tapi ia untuk kebaikan semua’

‘Ramai tak suka ada SOP hari raya tapi ia untuk kebaikan semua’

KUALA LUMPUR – “Kita tahu ramai yang kurang selesa dengan apa yang dilaksanakan kerajaan iaitu menyambut 1 Syawal dalam keadaan norma baharu dan terkawal dengan penguatkuasaan SOP (Prosedur Operasi Standard) dalam usaha memutuskan rantaian Covid-19 di negara ini.

“Bagaimanapun kami percaya bahawa ini adalah untuk kepentingan bersama dan bukannya hendak menyusahkan sesiapa kerana objektif kita adalah satu iaitu putuskan Covid-19 demi keselamatan diri, keluarga, masyarakat dan negara,” kata Menteri Kanan Keselamatan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Menurutnya, ia adalah langkah untuk menyelamatkan rakyat supaya selamat apabila Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) ditamatkan nanti.

“Saya minta kerjasama orang ramai yang sudah bersedia sambutan supaya patuhi setiap SOP yang dikeluarkan dan sambut Aidilfitri bersama keluarga terdekat dalam rumah kita dengan tidak boleh melebihi 20 orang.

“Aktiviti riadah berkumpulan juga tidak dibenarkan kerana masih dalam senarai larangan kerana mengikut SOP tindakan yang boleh menyebabkan perhimpunan ata perkumpulan tidak dibenarkan.

“Maka saya tahu ramai pada malam raya nak main bunga api, jika ada berlaku kelompok besar jumlahya ia juga salah dari segi SOP. Saya harap ibu bapa dan dewasa bolehlah mematuhi setiap SOP mengambil kira faktor keselamatan,” katanya dalam sidang media  hari ini.

Justeru katanya, anggota keselamatan polis dan tentera akan melakukan rondaan bagi memantau dan pematuhan SOP dari rumah ke rumah pada musim perayaan.

Dalam perkara sama, beliau juga menasihati rakyat tidak memaksa situasi perlanggaran SOP dan berlaku tangkapan atau dikompaun atau disaman, dihadapan ke mahkamah dan sebagainya.

Beliau merayu rakyat dan juga semua pemimpin masyarakat juga memainkan peranan menasihati ahli komuniti bawah mereka supaya mematuhi SOP dan kawalan kendiri.

“Janganlah sia-siakan pengorbanan petugas barisan hadapan yang akan terus bertungkus lumus kerja untuk menjaga keselamatan kita sewaktu kita semua bercuti dan berhari raya di rumah.

“Sudah 67 hari kita mengikuti peraturan PKP hingga PKPD dan PKPB, dalam saya sampaikan maklumat terkini sebagai manusia biasa tentunya tak terlepas dari salah dan khilaf, jika ada..saya mohon ampun dan maaf dan ucapakan selamat Hari Raya Aidilfitri dan ampun dan maaf semua muslimin dan muslimat di negara ini,” ujarnya.

Beliau turut menasihatkan ibu bapa yang keluar membawa anak beriadah di luar supaya memahami situasi semasa suaya ia tidak menolak kepada keadaan perhimpunan ramai yang boleh melanggar SOP riadah.-MalaysiaGazette