
KUALA LUMPUR – Sebanyak 60 kes baharu yang telah dilaporkan hari ini sehingga 12 tengah hari dengan jumlah keseluruhan positif setakat ini sebanyak 7,245 kes.
Daripada 60 kes itu, sebanyak tujuh kes adalah kes import yang mendapat jangkitan di luar negara.
Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah dalam kenyataan berkata, sebanyak 53 kes penularan tempatan dengan 44 kesnya pula bukan warganegara Malaysia.
“Sebanyak 27 kes bukan warganegara Malaysia telah dikesan di Depot Tahanan Imigresen (DTI) di Semenyih dan enam kes pula sebuah kluster baru di DTI Sepang,” kata Noor Hisham.
Dalam pada itu, terdapat sembilan kes positif Covid-19 yang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU), daripada jumlah tersebut empat memerlukan bantuan pernafasan.
Kata Noor Hisham, tidak ada sebarang kes kematian berkaitan Covid-19 setakat ini menjadikan jumlah kumulatif kematian kekal 115 kes atau 1.59 peratus di Malaysia.
Sementara itu, kenyataan Noor Hisham juga memaklumkan terdapat 33 kes yang telah pulih dan dibenarkan discaj pada hari ini.
Noor Hisham juga mengambil kesempatan mengucapkan Selamat Hari Raya Aidilfitri sambil memberikan peringatan supaya garis panduan (SOP) di ikuti agar penularan ini dapat dibendung sepenuhnya.
“Orang ramai dinasihatkan untuk terus mempraktikan norma dan kebiasan baharu semasa sambutan Hari Raya mahupun selepas musim perayaan. Pastikan semua nasihat serta saranan KKM di patuhi pada setiap masa,” katanya. –MalaysiaGazette