Home Nasional Kenapa keputusan saringan Covid-19 mengambil masa?

Kenapa keputusan saringan Covid-19 mengambil masa?

Foto hiasan

KUALA LUMPUR- Ramai yang merungut hasil ujian saringan Covid-19 hanya boleh diketahui sekurang-kurangnya selepas 48 jam serta mempersoalkan mengapa kerajaan tidak mengadakan ujian saringan kepada semua orang.

Namun tidak ramai yang tahu betapa para petugas di bahagian makmal mikrobiologi di bawah Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) bersengkang mata kerana terpaksa bertugas 24 jam untuk mendapatkan hasil ujian.

Bagi orang luar yang tidak mengetahui proses untuk mendapatkan hasil ujian saringan Covid-19, ramai yang menyangkakan ia semudah “menjolok lubang hidung atau kerongkong” dan keputusannya dapat diterima sejurus selepas itu.

Hakikatnya, proses mendapatkan keputusan ujian saringan Covid-19 adalah sangat rumit dan memerlukan kakitangan makmal berkemahiran tinggi serta berpengalaman untuk mengendalikannya.

Mohd. Hazmir Rosman foto HAZROL ZAINAL, 21 MEI 2020.

Menurut Pegawai Sains (Mikrobiologi Perubatan), Unit Mikrobiologi, Jabatan Patologi Hospital Kuala Lumpur, Noor Hazmir Rosman, proses bagi mendapatkan keputusan sama ada seseorang itu positif atau negatif Covid-19 dilakukan di dalam makmal molekular dan perlu melalui beberapa proses yang memakan masa yang panjang dan sangat teliti.

Di sinilah petugas berkemahiran tinggi dan berpengalaman diperlukan kerana fokus 100 peratus perlu diberikan bagi memastikan proses yang rumit itu tidak terdapat sebarang kesalahan.

Petugas hospital, Nur Syahirah Mojd Zailan melakukan kerja-kerja menguji sampel cecair saringan orang awam bagi mengesan kes-kes positif Covid-19 di Hospital Kuala Lumpur, Kuala Lumpur. foto HAZROL ZAINAL, 21 MEI 2020.

Sekiranya berlaku, proses tersebut terpaksa diulang semula dari langkah pertama

“Dari pusat saringan,virus transport medium (VTM) perlu dimasukkan dalam pakej yang mempunyai tiga lapisan luar bagi memastikan virus Sars-Cov itu tidak dapat keluar sekiranya berlaku sebarang kemalangan atau insiden yang tidak diingini.

“Apabila telah masuk ke dalam makmal, proses pertama yang kita lakukan adalah menyahaktifkan virus tersebut bagi menjaga keselamatan para petugas, lagipun ianya tidak perlu berada dalam keadaan aktif untuk diuji.

“Ujian virus Covid-19 ini adalah ujian di paras molekular.

“Jika saya boleh gunakan analogi mudah, ianya ibarat sebiji epal yang mana lapisan paling luar adalah kulit kemudian isi, biji dan di dalam biji.

“Virus yang hendak diuji ini berada di dalam biji tersebut. Memang sangat-sangat halus dan memerlukan fokus dan ketelitian kerana itulah ujian molekular ini memperlukan kemahiran yang sangat tinggi,” katanya kepada MalaysiaGazette di sini.

Petugas makmal, Nur Syahirah Mojd Zailan teliti ketika melakukan ujian sampel Covid-19 di Hospital Kuala Lumpur, Kuala Lumpur. foto HAZROL ZAINAL, 21 MEI 2020.

Tambahnya, Makmal Mikrobiologi HKL mempunyai kapasiti untuk memproses 300 hingga 500 sampel Covid-19 dalam tempoh 24 jam.

Disebabkan hospital tersebut adalah hospital hibrid yang mana turut mengendalikan kes pesakit bukan Covid-19, makmal itu juga terpaksa mengendalikan ujian-ujian lain seperti HIV dan sebagainya.

Ini membuatkan bebanan petugas lebih tinggi namun komitmen yang diberikan oleh kesemuanya membuatkan cabaran tersebut dapat diatasi dengan baik.

Jelas Noor Hazmir, makmal terpaksa melakukan ujian sampel secara berkumpulan kerana prosesnya mengambil masa selama enam hingga lapan jam.

Lambakan dokumen sampel cecair saringan orang awam untuk diuji bagi mengesan kes positif Covid-19 di Hospital Kuala Lumpur, Kuala Lumpur. foto HAZROL ZAINAL, 21 MEI 2020.

“Jumlah sampel yang makmal terima daripada pusat saringan adalah tidak menentu, jadi jika hendak dilakukan secara satu demi satu sebaik sahaja sampel diterima, ianya amat merugikan kerana setiap proses mengambil masa enam hingga lapan jam.

“Dengan itu, kami akan kumpulkan sehingga membentuk satu kumpulan sebelum dijalankan ujian secara serentak,” katanya lagi.

Berkongsi pengalaman ketika wabak Covid-19 hebat membadai negara sekitar Mac lalu, Noor Hazmir berkata, beliau dan pasukannya terpaksa bertugas hampir 24 jam bagi memastikan hasil ujian saringan dapat diperolehi dengan segera.

“Boleh dikatakan tiada rehat langsung. Malah apabila habis syif sekali pun, kepala tetap fikir tentang virus ini,” luahnya.

Disebabkan itu, beliau yang sangat berpengalaman dalam bidang mikrobiologi ini meminta semua pihak supaya mematuhi arahan kerajaan kerana satu-satunya cara untuk menewaskan wabak tersebut adalah dengan memutuskan rantaiannya.

Bagi individu yang mempunyai potensi tinggi untuk mendapat jangkitan seperti baru pulang dari luar negara atau kontak rapat kepada pesakit Covid-19, perlulah segera membuat ujian saringan bagi memastikan mereka tidak menyebarkan virus tersebut kepada orang lain pula.- MalaysiaGazette

Artikel berkaitan

https://www.facebook.com/MalaysiaGazette/videos/809738883186902