Home Ekonomi MEDAC sedia RM425.8j bantu usahawan terjejas

MEDAC sedia RM425.8j bantu usahawan terjejas

Wan Junaidi Tuanku Jaafar

KUALA LUMPUR- Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (MEDAC) telah memperuntuk RM452.8 juta yang memberi manfaat kepada lebih 21,847 penerima.

Ia merangkumi usahawan mikro, perusahaan kecil sederhana, usahawan sosial, startup dan koperasi di bawah Pelan Pemulihan Usahawan dan Koperasi.

Mengandungi 30 program, pelan itu akan dilaksanakan dalam dua fasa iaitu jangka masa pendek bermula Mei hingga Disember 2020 dan jangka masa sederhana bermula Januari 2021 hingga Mei 2021.

Menurut menterinya, Datuk Seri Wan Junaidi Tuanku Jaafar, bagi fasa pertama yang bermula Mei-Disember ini, sejumlah RM230.1 juta peruntukan diperlukan, di mana RM175.79 juta adalah bagi melaksanakan enam program baharu dan 10 program sedia ada yang akan menggunakan peruntukan sedia ada MEDAC dan agensi-agensi.

Manakala, RM54.31 juta peruntukan tambahan diperlukan bagi melaksanakan 14 buah program baharu.

Bagi fasa kedua bermula Januari hingga Mei tahun depan, sejumlah RM222.69 juta peruntukan diperlukan untuk pelaksanaan 19 program baharu dan 11 program sedia ada.

Permohonan peruntukan ini telah dikemukakan oleh MEDAC dan agensi-agensi di bawahnya kepada Unit Perancang Ekonomi melalui permohonan peruntukan di bawah tempoh RMKe12.

“MEDAC juga sedang bekerjasama dengan pihak Kementerian Kewangan dalam pembangunan Pelan Pemulihan Ekonomi Pasca COVID-19 (atau Short Term & Medium Term Economic Recovery Plan, “Restart”),” katanya dalam satu kenyataan hari ini.-MalaysiaGazette