KUALA LUMPUR – Mesej tular yang mendakwa Orang Asli Bukit Lagong, Selangor tidak mendapat sebarang bantuan makanan sejak pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada 18 Mac lalu adalah tidak benar sama sekali.
Malah kutipan sumbangan dana kononnya untuk disalurkan kepada masyarakat Orang Asli itu juga tidak mendapat kelulusan Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA).
Ketua Pengarah JAKOA, Prof Dr. Juli Edo berkata, sepanjang tempoh PKP, Kampung Orang Asli Bukit Lagong telah menerima Bantuan Bakul Makanan JAKOA sebanyak tiga kali iaitu pada 7 April, 16 April dan 8 Mei lalu.
Barangan itu meliputi barangan keperluan asas seperti beras, minyak masak, tepung gandum, garam, gula, serbuk teh, susu pekat manis, sardin dan kicap.
”Sehubungan dengan itu, kenyataan bahawa masyarakat Orang Asli di sana tiada sumber makanan adalah tidak
benar,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Mesej tular di aplikasi Whatsapp bahawa terdapat individu yang membuat kutipan dana untuk menyalurkan bantuan kepada masyarakat Orang Asli Bukit Lagong.
Kutipan tersebut dibuat ke akaun bank CIMB atas nama Noor Aziah Mat.
Oleh itu, JAKOA menasihatkan agar orang ramai lebih berhati-hati dalam menerima kenyataan sebegini lebih-lebih lagi melibatkan kutipan dana.
Orang ramai hendaklah sentiasa mendapatkan penjelasan daripada pihak JAKOA jika menerima sebarang kenyataan berkenaan masyarakat Orang Asli.
Sebarang pertanyaan berkenaan masyarakat Orang Asli boleh dibuat melalui Bilik Gerakan JAKOA di talian 03-21610577 atau melalui email [email protected]. – MalaysiaGazette