KAJANG – Perbicaraan kes mengaib dan mencederakan Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman akan bersambung pada 4 hingga 6 Ogos depan di Mahkamah Majistret di sini.
Timbalan Pendakwa Raya Muhammad Hairuliqram Hairuddin semasa dihubungi berkata perbicaraan itu dijadual bersambung 31 Mac lalu tetapi ditangguhkan berikutan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
“Lima lagi saksi dijangka memberi keterangan di hadapan Majistret Muhammad Noor Firdaus Rosli,” katanya.
Syed Saddiq, 28, yang merupakan saksi ketiga telah selesai memberi keterangan pada 30 Jan lepas pada perbicaraan kes Papagomo, 37, atau nama sebenarnya Wan Muhammad Azri Wan Deris.
Exco Pemuda UMNO itu menghadapi pertuduhan mengaibkan kehormatan Syed Saddiq dengan menyebut perkataan “kau bodoh” di tepi jalan Persiaran Impian Perdana, Saujana Impian, di sini pada 11.05 pagi, 16 Feb tahun lepas.
Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 509 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum lima tahun atau denda atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.
Dia juga dituduh dengan sengaja mendatangkan kecederaan terhadap Ketua Armada Bersatu itu di bahagian leher dan bahu, di tempat, masa dan tarikh sama mengikut Seksyen 323 kanun sama yang membawa hukuman penjara maksimum setahun atau denda sehingga RM2,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
— BERNAMA