Home Nasional Kumpulan B40, OKU digesa daftar myFreeview sebelum 31 Mei ini

Kumpulan B40, OKU digesa daftar myFreeview sebelum 31 Mei ini

Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Berbaki tiga hari lagi menjelang tarikh akhir 31 Mei 2020, isi rumah B40 dan golongan Orang Kurang Upaya (OKU) yang masih belum menerima set dekoder myFreeview percuma digesa untuk segera membuat pendaftaran melalui saluran yang disediakan.

Mereka boleh menyemak kelayakan seterusnya menyatakan minat bagi menerima dekoder percuma myFreeview dengan mengisi borang butiran diri yang lengkap iaitu nama, nombor kad pengenalan, alamat penuh serta nombor telefon di laman sesawang www.mytvbroadcasting.my/B40 atau menghubungi MYTV Careline di talian 1800-18-1088/1-300-80-6988.

Suruhanjaya Komunikasi Multimedia berkata, setakat 25 Mei 2020, seramai 157,276 individu terdiri daripada isi rumah
B40 dan OKU telah mendaftar nama mereka untuk mendapatkan set dekoder myFreeview percuma.

Selepas tarikh tutup 31 Mei 2020, urusan penghantaran dekoder melalui perkhidmatan kurier akan dilaksanakan
ke seluruh negara secara berperingkat mulai bulan Jun.

Inisiatif ini yang dilaksanakan dengan tambahan 300,000 unit dekoder yang ditanggung oleh kerajaan bertujuan memastikan tiada golongan yang tercicir dalam mengakses informasi dan hiburan secara mudah, percuma dan berkualiti melalui penyiaran TV digital.

MyFreeview ialah jenama platform TV digital, tanpa bayaran bulanan, yang menampilkan 15 saluran televisyen definisi tinggi (HD) dan 6 saluran radio. Selain mendapat maklumat dan menikmati hiburan, saluran myFreeview juga memberi peluang kepada penonton dan peniaga untuk melakukan perniagaan melalui saluran membeli-belah dari rumah. – MalaysiaGazette