PUTRAJAYA – Hanya 1,189 kes positif Covid-19 direkodkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KMM) sepanjang tempoh penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB), sejak 4 Mei lalu hingga semalam.
Daripada jumlah itu, 270 kes atau 22.7 peratus membabitkan warga tempatan, kata Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah.
Beliau berkata, selain itu, sebanyak 919 kes atau 77.3 peratus membabitkan warga asing, termasuk 383 di tiga Depoh Tahanan Imigresen (DTI).
“Sejak PKPB bermula, trend penularan Covid-19 dalam kalangan masyarakat setempat didapati semakin berkurangan daripada minggu sebelumnya.
“Ini tidak mungkin dicapai tanpa kerjasama dan pematuhan orang ramai kepada nasihat, SOP kerajaan, serta aktiviti penguatkuasaan oleh pelbagai agensi,” katanya pada sidang media hari ini.
Justeru Noor Hisham mengucapkan syabas dan terima kasih kepada pihak industri serta orang ramai kerana sudi memikul beban bersama kerajaan demi kepentingan komuniti dan negara.
Katanya, jika usaha itu diteruskan oleh semua pihak dengan sikap dan rasa tanggungjawab sosial, rantaian wabak berkenaan pasti dapat diputuskan seklagus melenyapkan penularan virus Covid-19 di Malaysia.
Menurutnya, PKPB dilaksanakan sejak 4 Mei lalu bagi memberi laluan terhadap sektor ekonomi beroperasi mampu mengawal penularan wabak Covid-19 di negara ini.
Noor Hisham berkata, PKPB mengajar masyarakat supaya lebih peka dan patuh dengan syarat-syarat yang ditetapkan oleh pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).
Beliau berkata, PKPB dilaksana selepas mengambilkira pandangan dan pertimbangan terhadap aspek kesihatan, keselamatan serta kualiti hidup orang awam.
“Kementerian Kesihatan bersama Majlis Keselamatan Negara (MKN) membangunkan pelbagai prosedur operasi standard (SOP) bagi melaksanakan kaedah yang menyokong norma dan kelaziman baharu,” katanya.
Sehingga kini, Noor Hisham berkata, pelbagai SOP diluluskan kerajaan untuk dilaksanakan oleh pihak industri dan orang ramai dalam kehidupan seharian.
Ia termasuk di dalam upacara keagamaan dan sambutan perayaan, ujarnya.
Tambah beliau, kerajaan berusaha keras bagi memastikan pematuhan orang ramai terhadap SOP itu dipatuhi agar bilangan kes Covid-19 dapat dikawal.
Pada masa sama kata beliau pihak industri serta aktiviti yang dibenarkan perlu menjalanakn aktiviti mereka secara terkawal. – MalaysiaGazette