Home Nasional Polis PGU derma darah 107 kali, anggap sumbangan unik

Polis PGU derma darah 107 kali, anggap sumbangan unik

Penerima sijil penghargaan anggota yang paling banyak menderma darah, Khoo Khai Keat pada Program Derma Darah sempena sambutan Peringatan Hari Polis ke-210 di Bukit Aman, Kuala Lumpur. foto IQBAL BASRI, 24 MEI 2017.

KUALA LUMPUR – “Saya sudah banyak kali derma darah dan anggap ia kewajipan unik sebagai manusia dan saya gembira tidak pernah lari daripada tanggungjawab itu selama ini”

Itu kata Sub Inspektor dari Pasukan Gerakan Udara (PGU) Cheras, Khoo Khai Keat yang telah menderma darah kumpulan O sebanyak 107 kali sepanjang 49 tahun usianya.

Bicara lanjut kepada MalaysiaGazette, Khai Keat yang berkhidmat selama 30 tahun dalam Polis Diraja Malaysia (PDRM) itu mengakui selesa menderma darah dan mahu berbuat demikian selagi ada hayat dikandung badan.

“Saya menderma darah sejak tahun 1989 lagi dan tahun 2015 paling bermakna kerana saya menderma darah sebanyak 20 kali dan tertinggi.

“Tidak hebat apa derma darah itu tanggungjawab sebagai manusia untuk menyelamatkan golongan memerlukan, dan saya berpuas hati kerana tidak pernah gagal menunaikannya.

“Lagi pun kerjaya menncabar sebagai polis tidak boleh menjadi alasan untuk tidak menderma darah kecuali ikhlas dan menyayangi ciptaan tuhan,” ujarnya di Program Derma Darah sempena Peringatan Hari Polis ke-210 di Bukit Aman di sini hari ini.

Sementara itu, bagi seorang lagi pegawai Penyiasat Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah Gombak, Inspektor Muhammad Faiz Abu Samah yang berasal dari Setapak menyifatkan derma darah satu peluang yang bukan semua orang boleh melakukannya.

“Faktor kesihatan badan dan semangat diri sendiri memainkan peranan untuk mederma, wang boleh dicari bila-bila masa tetapi derma darah bukannya mudah.

“Ia satu sumbangan yang unik untuk didermakan bagi menyelamatkan nyawa insan lain.

“Saya bersyukur dan mahu derma darah saya A+ ini selagi diizinkan Maha Esa untuk menyelamatkan mereka yang memerlukan di luar sana,” katanya yang menderma sebanyak 82 kali setakat hari ini.

Khalid bergambar kenangan bersama penerima sijil penghargaan anggota yang paling banyak menderma darah Khai Kheat (dua dari kiri), Muhammad Faiz (dua dari kanan) dan Koperal Nur Izhar (kiri) dan Inspektor Muhammad Nizan Mohamad Nor selepas selesai Majlis Perasmian Program Derma Darah sempena sambutan Peringatan Hari Polis ke-210 di Bukit Aman, Kuala Lumpur. foto IQBAL BASRI, 24 MEI 2017.

Dalam pada itu, Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar yang merasmikan program itu berkata, sudah lebih 50 kali Bukit Aman menganjurkan kempen derma darah dalam kalangan anggota dan pegawai polis.

“Ia merupakan program wajib dalam kalender PDRM Bukit Aman setiap tahun. Berkhidmat kepada masyarakat bukan sekadar menjaga keselamatan di perbatasan negara sahaja, sebaliknya program murni seperti derma darah begini juga satu tanggungjawab sosial polis kepada masyarakat.

“Saya berharaop anggota dan pegawai polis menjadikan ia sebagai amalan hidup dengan niat menyelamatkan insan-insan yang sangat memerlukan di luar sana,” tegasnya.- MalaysiaGazette.