KUALA LUMPUR – Setakat ini hanya satu kes pelanggaran Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) rentas negeri direkodkan oleh polis di ibu kota.
Ia melibatkan seorang lelaki berusia 30 tahun dan satu-satunya kes sejak sekatan jalan raya (SJR) dilancarkan pada 23 Mei lalu sehingga semalam.
“Cuma setakat ini satu sahaja kes kesalahan merentasi negeri melibatkan pemuda 30 tahun yang berasal dari KL (Kuala Lumpur) telah curi-curi pergi ke Pulau Pinang dan balik semula ke ibu negara semalam tanpa ada surat rentasi negeri langsung.
“Dia ditangkap dalam sekatan jalan semalam dan dikompaun di bawah Akta 342 PKPB dan kita akan terus memastikan insiden itu tidak berulang lagi,” katanya dalam sidang media selepas meninjau SJR di Tol Jalan Duta petang tadi.
Turut hadir ialah Ketua Jabatan Siasatan dan Pengurusan Trafik Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Dzulkefly Yahya.
Selain itu, Mazlan menjangka jumlah kenderaan yang akan memasuki ke ibu negara meningkat pada hujung bulan ini selepas berakhirnya cuti Hari Raya Aidilfitri.
Justeru, pihaknya akan menambah jumlah anggota polis bertugas bagi mengesan warga kota yang cuba merentasi negeri nanti.
Ujarnya, setakat ini, semua yang memasuki ibu negara adalah melibatkan mereka yang merentasi sempadan untuk tujuan bekerja dan melibatkan urusan penting.
“Kebanyakannya penuh berdisiplin dan mematuhi SOP PKPB yang dikuatkuasakan kerajaan dan polis semasa pemeriksaan dilaksanakan di SJR.
Tambah beliau, sejak dilancarkan pada Sabtu lalu, tren kenderaan yang memasuki ke dalam ibu negara adalah merentasi daerah dari Selangor, KL dan Putrajaya bagi tujuan perniagaan dan essential sektor awam dan perniagaan.
Menurut beliau polis tegas memeriksa setiap kenderaan yang memasuki pusat bandar raya supaya mempunyai surat yang munasabah khususnya yang merentasi negeri iaitu kematian atau kecemasan serius ataupun alasan munasabah lain yang dibenarkan.
“Kita mahu memastikan SJR di Jalan Duta ini supaya tidak ada kenderaan memasuki KL tanpa dokumen sah rentasi negeri semasa PKPB ini.
“Semenjak kita melakukan operasi pemeriksaan di SJR ini, sebanyak 53, 039 buah kenderaan telah melalui tol Jalan Duta dan sebanyak 206 kompaun di keluarkan atas kesalahan langgar PKPB oleh pemandu di sini.
“Jadi, setiap hari jumlah kenderaan meningkat dan kita akan memperbanyakkan jumlah anggota di lapangan SJR untuk mengambil tindakan ke atas mereka mereka yang akan cuba merentasi negeri apabila mula memasuki ke KL pada hujung minggu Sabtu dan Ahad ini nanti termasuk nak cuba ke Selatan,” tegasnya.-MalaysiaGazette