Home Seni Hidup Rasa sayu beraya tanpa Abam – Siti Nurhidayah

Rasa sayu beraya tanpa Abam – Siti Nurhidayah

Foto Instagram Abam.

KUALA LUMPUR – Balu kepada Allahyarham Abam atau Syed Umar Mokhtar Syed Mohd Redzuan, Siti Nurhidayah meluahkan rasa sayu apabila berdepan pengalaman pertama meraikan Hari Raya Aidilfitri tanpa suami di sisi.

Menerusi Instagram Allahyarham Abam, ibu tunggal berusia 28 tahun itu berkata, dia hanya ditemani anaknya, Syed Uthman Hamzah Al-Juffery pada raya tahun ini.

“Tahun lepas beraya dengan arwah, Hamzah masih dalam kandungan saya. Tapi tahun ini sekelip mata arwah tinggalkan kami.

“Terasa sedih dan sayu sangat hati ini. Tak dapat nak gambarkan bila pagi raya pakaikan baju Hamzah, terasa pilu sangat.

“Abang, sayang rindu sangat dengan abang. Sayang rindu sangat dengan pelukan kasih sayang abang pada sayang dan Hamzah,” tulisnya dalam entri tersebut.

Hidayah menambah, hanya gambar nikah dia dan pelawak popular itu sahaja yang mampu mengubat rindu terhadap Allahyarham suaminya

“Sayang sedih sangat abang sebab tahun ni sepatutnya kita sambut hari raya sama-sama dengan anak kesayangan kita tapi abang pergi dulu tinggalkan kami.

“Hanya Allah SWT yang tahu perasaan sayang. Sayang doakan abang tenang di sana dan ditempatkan bersama orang yang beriman dan beramal soleh. Kenangan sampai ke syurga,” ujarnya.

Sementara itu, dia turut memaklumkan Instagram Abam telah digodam sejak beberapa minggu lalu sebelum ia berjaya dibuka semula.

Pasangan itu mendirikan rumah tangga pada 8 Disember 2017 dan dikurniakan seorang cahaya mata.

Abam, 32, menghembuskan nafas terakhir di kediamannya pada pagi Isnin, 10 Februari tahun ini akibat demam panas. – MalaysiaGazette