PUTRAJAYA – Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mendedahkan lebih separuh penduduk dewasa di negara ini didapati obes.
Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Adham Baba berkata, fakta itu adalah daripada dapatan tinjauan kementeriannya.
“Lebih 50 peratus orang dewasa di Malaysia berlebihan berat badan atau obes, dan 95 peratus orang dewasa di negara ini tidak mengambil sayur-sayuran dan buah-buahan yang mencukupi,” katanya selepas menghadiri sesi Pembentangan Dapatan Tinjauan Kebangsaan Kesihatan dan Morbiditi Kebangsaan 2019 (NHMS 2019) di kementeriannya, hari ini.
Hadir sama dalam perbentangan kajian itu adalah Timbalan Menteri Kesihatan I, Datuk Dr Noor Azmi Ghazali, dan Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah.
Dapatan itu adalah hasil tinjauan terhadap 32,000 penduduk Malaysia yang dijalankan dari Julai hingga Oktober tahun lalu.
NHMS memfokuskan kepada tiga aspek iaitu penyakir tidak berjangkit, permintaan jagaan kesihatan dan literasi kesihatan.
Selain obes, sejumlah 49 peratus daripada penghidap diabetes di negara ini tidak pernah diperiksa atau didiagnosis menghidap penyakit itu.
“Salah satu dapatan NHMS 2019 yang merisaukan kita merupakan peningkatan diabetes di Malaysia. Prevalens diabetes didapati mencecah 18.3 peratus peningkatan ketara dari 13.4 peratus pada tahun 2015,” katanya.
Data itu menunjukkan satu daripada lima orang dewasa di negara ini menghidapi diabetes dan dianggarkan 3.9 juta daripada daripada golongan berusia 18 tahun keatas.
Negeri Sembilan berada di tangga teratas penduduk menghadapi diabetes dengan 33.2 peratus diikuti Perlis dengan 32.6 peratus dan Pahang dengan 25.7 peratus penduduknya dikategorikan sebagai penghidap diabetes.
Dalam pada itu, prevalens kebantutan di kalangan kanak-kanak berumur kurang 5 tahun juga didapati meningkat daripada 17.7 peratus pada 2015 kepada 21.8 peratus pada tahun lalu.
Ia ekoran kekurangan pengambilan nutrisi yang diperlukan oleh golongan ini untuk tumbesaran.
Lebih mengejutkan, 500,000 orang di negara ini mengalami kemurungan dengan melibatkan 2.3 peratus daripada jumlah penduduk di negara ini.
Putrajaya mencatatkan prevalens tertinggi dengan 5.4 peratus penduduknya dikategorikan menghidapi kemurungan dan Negeri Sembilan dengan 5 peratus.
Perlis di tangga ketiga dengan 4.3 peratus, diikuti Sabah dengan 4 peratus dan Melaka dengan 3.8 peratus penduduknya didapati menghadapi kemurungan.
Bagi perkhidmatan kesihatan, warga negara Malaysia menggunakan perkhidmatan jagaan kesihatan di sektor awam sektor swasta.
Tinjauan pencarian dari segi penggunaan jagaan kesihatan, sebanyak 76 peratus pesakit dalam menggunakan fasiliti kerajaan berbanding 24 peratus di fasiliti swasta.
“Bagi pesakit luar, 64 peratus menggunakan fasiliti kerajaan berbanding 36 peratus di fasiliti swasta, menyediakan bagi menjaga kesihatan pergigian, 80 peratus menggunakan fasiliti kerajaan berbanding 20 peratus di fasiliti peribadi,” ujar Adham lagi.
Dalam perkembangan berkaitan, kajian itu mendapati majoriti, 81 peratus, isi rumah menggunakan waktu semasa, sementara 36 peratus menggunakan simpanan dan 11 peratus lagi perlu meminjam wang dari keluarga atau kawan, sebagai sumber kewangan bagi perkhidmatan kesihatan. – MalaysiaGazette