Home Nasional Tembok bukan konkrit dipercayai punca tanah runtuh

Tembok bukan konkrit dipercayai punca tanah runtuh

Pekerja Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) memasang kain kanvas pada kawasan tanah runtuh yang melibatkan 7 buah rumah di Taman Kelab Ukay, Bukit Antarabangsa, Selangor. foto AFFAN FAUZI, 30 MEI 2020

KUALA LUMPUR – Keadaan tembok di belakang rumah yang gagal menahan struktur tanah ketika hujan lebat dipercayai punca berlakunya tanah runtuh di Bukit Antarabangsa.

Pengarah Pusat GEOTROPIK, Fakulti Kejuruteraan Awam, Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Prof. Dr Edy Tonnizam Mohamad berkata, hasil pemerhatian awal mendapati tembok di belakang rumah berkenaan kelihatan diperbuat daripada tembok yang kurang kuat menahan tekanan air yang bertambah selepas hujan dan struktur tanah yang sudah longgar.

Katanya, ia berlaku kerana keadaan tanah telah longgar, peningkatan tekanan air yang menyebabkan tembok tidak dapat menahan beban.

Prof. Edy Tonnizam Mohamad

“Ia boleh dibaiki dengan pembinaan tembok penahan yang kukuh seperti konkrit. Jika dilihat kedalaman runtuhan adalah berskala tempatan atau kecil iaitu kira-kira lima ke enam meter di mana kemungkinan punca tembok gagal menahan beban tanah yang memuncak selepas hujan.

“Bagaimanapun siasatan lanjut sedang dijalankan pihak berkenaan untuk mengetahui punca sebenar runtuhan,” katanya.

Dalam pada itu, ketika ditanya mengapa beberapa kawasan Bukit Antarabangsa kerap mengalami tanah runtuh, Edy Tonnizam erkata,  kejadian kali ini berbeza dengan beberapa siri kejadian sebelum ini.

Ini kerana dalam beberapa kejadian tanah runtuh tersebut terdapat kaitan sejarah lampau seperti pernah menjadi kawasan tarahan, kawasan berbukit dan telah berlaku beberapa siri kejadian tanah runtuh di tempat yang sama. Ini merujuk kepada lokasi berhampiran di mana kejadian sama berlakunya tanah runtuh beberapa kali sejak tahun 1970 an.

“Kawasan itu pernah ditarah dan dibuang tanah semenjak tahun 1970 an. Apabila berlakunya runtuhan pertama struktur tanah semakin longgar menyebabkan kejadian mudah berulang di lokasi yang sama dan kita telah melupai peristiwa lampau,” katanya.

Beberapa kawasan berbukit di Ampang dikenal pasti antara lokasi berisiko kerana kerap berlaku kejadian tanah runtuh, runtuhan cerun dan pergerakan tanah.

Antaranya kejadian runtuhan satu daripada tiga blok kondominium Highland Towers yang meragut 48 nyawa pada 1993, selain tanah runtuh di Taman Bukit Mewah di Bukit Antarabangsa pada 2008, yang meragut empat nyawa serta meranapkan 14 banglo.

Pada Disember 2019, penghuni sebuah rumah di Jalan Lee Voon Taman Zoo View di sini turut diarah mengosongkan kediaman apabila berlaku runtuhan cerun di kawasan berkenaan.

Susulan itu, sebuah lagi banglo di Jalan Kelab Ukay 2 di sini, diarah untuk dirobohkan selepas menyaksikan rumah terbabit mengalami kerosakan struktur kritikal hingga diklasifikasikan sebagai tidak selamat untuk diduduki.- MalaysiaGazette