KUALA LUMPUR – Asalnya Siti Hazeera Azmi hanya menghantar mesej peribadi (DM) ke akaun Instagram Che’ Puan Khaleeda Bustamam, isteri Tengku Mahkota Johor (TMJ) memuji baju Kaftan yang dipakainya.
Namun siapa sangka pada Hari Raya ketiga lalu, dia menerima hadiah berbentuk tiga pasang pakaian Kaftan sebagai hadiah lebaran dari koleksi peribadi Che’ Puan Khaleeda sendiri!
Menurut Siti Hazeera, 23, dia mula mengikuti akaun Instagram Che’ Puan Khaleeda sejak lebih setahun lalu kerana meminati fesyen yang sering digayakan dan dimuatnaik ke akaun Instagram berkenaan.
Katanya, dalam salah satu mesej yang dihantar, dia memuji kecantikan baju Kaftan isteri TMJ itu.
“Pada 13 April lalu, Che’ Puan Khaleeda membalas mesej saya dan memaklumkan hajatnya untuk menghadiahkan baju-baju Kaftan koleksi peribadi yang menurutnya ditempah khas dari Singapura.
“Tak sangka pula pada Hari Raya ketiga yang lalu, dua pembantu peribadi Che’ Puan Khaleeda muncul di rumah dan benar-benar menyampaikan ‘hadiah’ yang dimaksudkan,” katanya pada Malaysia Gazette di sini hari ini.
Siti Hazeera memberitahu, tiga pasang Kaftan itu masing-masing berwarna hitam, biru turquoise dan biru muda.
Menurutnya, sebagai rakyat biasa, dia sama sekali tidak menyangka mesejnya itu mendapat perhatian ‘pemiliknya’.
“Bukan tak pernah Che’ Puan Khaleeda membalas mesej peribadi saya tetapi tak menyangka pula beliau benar-benar hendak memberi saya hadiah koleksi pakaiannya.
“Bagi saya ‘kurniaan’ ini adalah sesuatu yang istimewa dalam hidup saya dan mana tahu suatu hari nanti saya dapat bertemu ’empat mata’ dengan beliau sendiri di istana, tempat yang saya tak pernah jejak sepanjang hidup saya,” katanya sambil tersenyum – Malaysia Gazette
Alhamdulillah syukur tuu.. Bersifat pemurah lg terpuji..